‘Laksana segera pembaharuan PBB’

‘Laksana segera pembaharuan PBB’

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), 16 Jun (AFP) – Bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat Madeleine Albright dan sekelompok diplomat veteran menggesa bagi perubahan besar ke atas PBB, menurut laporan yang dikeluarkan menjelang ulang tahun ke-70 badan dunia berkenaan.

Laporan terbaru itu kelihatannya lebih tegas menggesa bagi pembaharuan PBB, berikutan kegagalan segera bertindak oleh lima anggota tetap Majlis Keselamatan yang “berkuasa” menyetujui apa bentuk tindakan yang sesuai diambil oleh badan dunia tersebut.

Ia turut menggesa bagi pengembangan Majlis Keselamatan, menyekat penggunaan kuasa veto serta mewujudkan medan baru untuk menyelesaikan perubahan iklim, keselamatan siber, matlamat kemajuan bar dan pembinaan keamanan.

Bersama-sama Albright yang juga pernah berkhidmat sebagai utusan Washington ke PBB dan turut mempengerusikan kumpulan diplomat itu ialah Ibrahim Gambari, bekas Menteri Luar Nigeria dan bekas ketua hal ehwal politik di PBB.

Madeleine Albright. – AFP
Madeleine Albright. – AFP

Enam bekas Menteri Luar dari Brazil, Kanada, India, Jepun, Belanda dan Tanzania adalah di antara anggota panel yang menyediakan laporan 130 muka surat berkenaan. Gambari memberitahu AFP dalam temu ramah bahawa kini masa yang sesuai untuk menyelesaikan “krisis dalam pemerintahan global” dengan menjadikan PBB lebih baik sekali gus mampu berdepan dengan pelbagai ancaman baru.

PBB kekal tidak berubah sejak ia diwujudkan selepas Perang Dunia II, apabila 50 negara diketuai oleh kuasa-kuasa besar bersatu, dengan harapan badan dunia itu mampu bekerjasama untuk melindungi keamanan dan keselamatan global.