Laksanakan penilaian risiko di sekolah

Laksanakan penilaian risiko di sekolah

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Ogos – Ketua-ketua sekolah disaran laksanakan penilaian risiko bagi perkara yang boleh mendatangkan bahaya di sekolah masing-masing terutama sekali bahaya kesihatan dan keselamatan warga Kementerian Pendidikan serta pelajar-pelajar.

Jika langkah kawalan tidak dilaksanakan bagi memastikan bahaya-bahaya itu dibendung, setentunya ia akan mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan dan keselamatan warga kementerian serta para pelajar.

Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Perkhidmatan, Pengiran Nazrul Arif bin Pengiran Dato Paduka Haji Mohd Zain berkata, perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana sekolah bukan sahaja tempat bagi pelajar menimba ilmu tetapi juga merupakan sebuah persekitaran unik di mana mereka banyak meluangkan masa selain di rumah.

“Oleh itu, adalah amat penting bagi memastikan pelajar mendapat udara yang bersih, makanan yang selamat dan berkhasiat, bekalan air yang bersih dan cukup serta persekitaran yang kondusif dan selamat untuk belajar dan bermain,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Buku Garis Pandu Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi Insiden Keracunan Makan, Kementerian Pendidikan dan Pelan Keselamatan dan Kawalan Kemalangan LaluLintas di Sekolah-sekolah Kerajaan Seluruh Negara, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan buku pandu SOP di majlis yang berlangsung di Dewan Kuliah, Bangunan Baru Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri itu ialah Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Haji Abdul Rahim bin Derus.

Haji Abdul Rahim menyerahkan pandu SOP kepada salah seorang wakil ketua kluster di majlis berkenaan.
Haji Abdul Rahim menyerahkan pandu SOP kepada salah seorang wakil ketua kluster di majlis berkenaan.

Pengiran Nazrul Arif berkata kejadian keracunan makanan dan kemalangan jalan raya dan lalu lintas di sekolah mengajar kita bahawa pelan keselamatan perlu ditingkatkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak dingini daripada berlaku.

Menurutnya, penerbitan SOP keracunan makanan dan SOP pelan keselamatan dan kawalan kemalangan lalu lintas merupakan satu platform asas yang dapat membantu pihak sekolah dalam menjalankan operasi seharian mengikut garis pandu yang ditetapkan di buku berkenaan.

Ujarnya, “Adalah diharapkan agar pengetua dan guru besar sekolah menggunakan garis pandu yang diselaraskan di dalam buku-buku ini dalam usaha bagi mempertingkatkan pengawalan keselamatan di sekolah-sekolah, ke arah menjamin suasana sekolah yang selamat, selesa dan sejahtera.”

Pada majlis itu Haji Abdul Rahim menyerahkan buku-buku SOP kepada wakil ketua-ketua kluster.

ARTIKEL YANG SAMA