Laksanakan secara berhemat

Laksanakan secara berhemat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Dis – Semua pihak disarankan untuk terus berganding bahu dan bekerjasama melaksanakan tanggungjawab serta peranan masing-masing kerana ia adalah amat penting untuk memastikan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 nanti dapat berjalan dengan lancar, teratur dan sempurna seperti yang dirancang dan dihasratkan.

Bagaimanapun, setiap jawatankuasa perlu ingat bahawa mereka harus sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang ada, khususnya dalam mengendalikan perbelanjaan, pembelian dan perkhidmatan bagi persediaan-persediaan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan itu nanti termasuklah acara-acara sampingan dengan membuat perancangan secara teliti, bijak dan teratur.

Ini dinyatakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof semasa mempengerusikan Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-32 bagi tahun 2016 yang berlangsung di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, hari ini.

Turut hadir Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah, Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Bahrin bin Mohd Noor, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai daerah serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32.

Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya berkata, Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32, sepertimana juga sambutan-sambutan ulang tahun sebelumnya dengan temanya ‘Generasi Berwawasan’ merupakan sambutan yang sangat penting dan signifikan bagi memperlihatkan semangat patriotisme, perpaduan yang jitu, ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Baginda bersama dalam mendukung Wawasan 2035 dengan falsafah Melayu Islam Beraja.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi (duduk, tengah), YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz berserta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi sambutan bergambar ramai sebelum bermesyuarat.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi (duduk, tengah), YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz berserta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi sambutan bergambar ramai sebelum bermesyuarat.

Acara-acara tetap juga telah dirancang untuk melibatkan semua lapisan masyarakat bagi sama-sama memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-32, seperti Pengagihan Bendera Kecil Meja, dan Larian Hari Kebangsaan. Begitu juga dengan Majlis Khatam Al-Quran Sebanyak 32 Kali Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32.

Yang Berhormat Pehin juga mengucapkan terima kasih di atas sumbangan buah fikiran yang bernas dan yang tidak putus-putus daripada semua ahli bagi kesempurnaan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-32 bagi tahun 2016 dan seterusnya berharap semua pihak akan mengambil langkah proaktif dalam memastikan semua persediaan berjalan dengan lancar termasuk penyediaan kelengkapan, penyediaan bahan-bahan props, percetakan serta persediaan logistik yang lazimnya seperti pemilihan pembekal pemakanan dan urusan penyewaan kenderaan akan dapat ditangani dengan sebaiknya menurut peraturan dan tatacara yang telah ditetapkan dan dalam langkah berjimat cermat.

Yang Berhormat Pehin turut memaklumkan bahawa Baginda Sultan, melalui warkah Baginda, telah mengambil maklum akan keputusan-keputusan dan memperkenankan pertimbangan-pertimbangan semasa Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Tertinggi yang bersidang pada 12 Oktober lalu.

Keputusan dan pertimbangan berkenaan ialah tema ‘Generasi Berwawasan’ dikekalkan sebagai tema Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32; logo Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-31, tahun 2015 akan terus dikekalkan bagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 bagi tahun 2016 dengan membuat beberapa pertukaran warna dan huraiannya,

Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei dilantik selaku Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi.

Di samping itu, Upacara Menaikkan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam akan diadakan pada 7 Februari 2016 di kawasan lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan dan Upacara Menurunkan Bendera Besar pula akan diadakan pada 27 Februari 2016 di kawasan lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Sementara itu, Majlis Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yasin serta Membaca Doa Kesyukuran akan diadakan pada 22 Februari 2016 di semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara dengan tumpuan utama di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien bermula pukul 5:45 petang dan Upacara Perhimpunan Agung akan diadakan pada 23 Februari 2016 pada pukul 8:15 pagi di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

ARTIKEL YANG SAMA