Lakukan aktiviti bermanfaat pada musim cuti persekolahan

Lakukan aktiviti bermanfaat pada musim cuti persekolahan

MUSIM cuti persekolahan merupakan saat yang dinanti oleh anak-anak. Tanggungjawab dan peranan ibu bapa dalam mengisi masa lapang anak-anak ketika musim cuti persekolahan dengan perkara yang bermanfaat amat penting bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pelbagai bidang.

Anak-anak ibarat kain putih yang memerlukan ibu bapa memgunakan strategi, kemahiran, kepakaran dalam mencorakkan mereka agar jati diri yang dilahirkan mampu membina sahsiah dan akhlak yang terpuji.

Menghantar anak-anak ke kem ibadah dan motivasi mampu meningkatkan pengetahuan dan pemahaman tentang ilmu berkaitan solat, doa harian, zikir, bacaan dan hafazan Al-Quran dalam mewujudkan modal insan yang dididik mengikut ajaran agama yang sebenar.

Selain itu, kem motivasi juga dapat membentuk dan meningkatkan keyakinan diri anak-anak untuk berhadapan dengan cabaran dunia yang kian menguji minda serta fizikal untuk kuat, pantas, cekal dan mampu bertahan dengan ujian yang datang tidak mengira masa dalam pelajaran mahupun kehidupan seharian.

Pada usia muda, anak-anak perlu didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang dapat mencungkil bakat mereka terutama dalam bidang kesukanan. Selain itu, bersukan juga dapat meningkatkan kecergasan tubuh badan mereka dalam masa yang sama dapat mempelajari nilai-nilai yang tersembunyi dalam setiap permainan sukan.

Aktiviti bersukan bukan sahaja berpeluang untuk meluangkan masa bersama keluarga malah ia turut berpeluang untuk mencungkil bakat mereka dalam sukan yang diminati.
Aktiviti bersukan bukan sahaja berpeluang untuk meluangkan masa bersama keluarga malah ia turut berpeluang untuk mencungkil bakat mereka dalam sukan yang diminati.
Jika berkemampuan, bawalah anak-anak melancong di dalam atau luar negara agar dapat membuka minda mereka dengan melihat dunia luar yang berbeza.
Jika berkemampuan, bawalah anak-anak melancong di dalam atau luar negara agar dapat membuka minda mereka dengan melihat dunia luar yang berbeza.

Contohnya, sukan memanah dapat melatih emosi dan fizikal anak-anak untuk menetapkan sasaran. Memanah juga mengajar mereka agar mampu mengawal emosi, bersabar, tenang dalam apa jua keadaan serta meningkatkan kesihatan dan ketajaman mental.

Sukan lain yang boleh diceburi oleh anak-anak seperti berkuda, berenang, bermain bola, tenis, badminton, futsal, bola baling dan sebagainya.Sukan berbentuk seni mempertahankan diri juga penting dalam menyediakan sistem pertahanan yang kukuh dalam diri anak-anak agar berani dan kuat menghadapi sebarang kemungkinan.

Mempersiapkan diri anak-anak dengan pelbagai kemahiran berbahasa akan memudahkan kehidupan mereka pada masa akan datang.

Contohnya, anak-anak diberi penekanan untuk menguasai Bahasa Inggeris baik dalam penulisan mahupun pertuturan kerana persaingan kerja yang mendesak untuk berhubung dengan orang luar.

Di samping itu, kemahiran menguasai pelbagai bahasa termasuk bahasa Arab, Cina, Jepun dan sebagainya akan dapat meningkatkan keyakinan diri anak-anak dan memudahkan urusan berkomunikasi serta mereka mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Oleh itu, hantarlah anak-anak ke kelas bahasa yang berdekatan untuk meningkatkan kemahiran berbahasa di samping mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah.

Suasana kehidupan di kampung amat berbeza dengan kehidupan di bandar. Di kampung, anak-anak boleh belajar untuk berdikari tanpa mengharapkan pertolongan ibu bapa untuk melakukan sesuatu. Contohnya, nak minum air kelapa perlu menggunakan usaha sendiri dan pemantauan orang dewasa untuk mendapatkannya dari pokok kelapa.

Selain itu, pelbagai aktiviti yang menyeronokan boleh dilakukan bersama keluarga  tersayang.

Ketika berjauhan hanya telefon sahaja yang menghubungkan. Oleh itu, bawalah anak-anak pulang ke kampung dan melakukan aktiviti bersama datuk dan nenek seperti menolong membersihkan halaman rumah, memasak, berkebun, pergi dusun buah-buahan, bermain wau dan pelbagai lagi yang boleh dibuat bagi mengeratkan hubungan silaturahim.

Menerapkan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak untuk membantu mereka yang lebih memerlukan.

Membawa anak-anak untuk menyertai persatuan kebajikan yang banyak melakukan aktiviti seperti memberi makanan kepada golongan gelandangan, membantu anak-anak yatim, menceriakan golongan OKU dan warga emas yang hidup di rumah orang tua. Golongan ini amat memerlukan semangat dan sokongan daripada masyarakat.

Oleh itu, ajaklah anak-anak melakukan kerja amal bagi mendedahkan kepada mereka bahawa kehidupan mereka lebih baik dan mereka perlu bersyukur dengan apa yang ada serta perlu ringan tulang dalam menghulurkan bantuan. Ini akan melahirkan anak-anak yang berjiwa masyarakat dan akan menabur bakti demi kesejahteraan ummah.

Latih anak-anak untuk melukis di mana ia berpeluang untuk meningkatkan daya kreativiti mereka.
Latih anak-anak untuk melukis di mana ia berpeluang untuk meningkatkan daya kreativiti mereka.
Ajak anak-anak melakukan kerja amal bagi mendedahkan erti kesyukuran terhadap kehidupan di samping dapat mendidik mereka untuk lebih ringan tulang dalam menghulurkan bantuan.
Ajak anak-anak melakukan kerja amal bagi mendedahkan erti kesyukuran terhadap kehidupan di samping dapat mendidik mereka untuk lebih ringan tulang dalam menghulurkan bantuan.

Bergantung kepada minat dan hobi anak-anak. Ibu bapa boleh meluangkan masa untuk melakukan pelbagai aktiviti yang boleh merapatkan hubungan bersama anak-anak di samping mengasah bakat dan kemahiran mereka dalam pelbagai bidang.

Contohnya, membuat kraftangan. Ibu bapa hanya perlu melayari Internet dan melihat cara membuat barangan kraftangan dan cuba membuatnya bersama anak-anak. Selain itu, boleh menerapkan amalan membaca di rumah atau membawa anak-anak ke perpustakaan bagi meningkatkan ilmu pengetahuan mereka.

Di samping itu, bagi anak-anak yang berminat dalam tarian atau bermain alat muzik. Berilah dorongan dan usaha untuk membantu mereka menguasai kemahiran tersebut. Minda dan tubuh mereka dapat berkembang dengan sihat dengan melakukan aktiviti yang bermanfaat daripada menghabiskan masa lepak bersama kawan-kawan di pasaraya atau melakukan aktiviti yang tidak sihat.

Jika berkemampuan, bawalah anak-anak melancong di dalam atau luar negara agar dapat membuka minda mereka melihat dunia luar yang berbeza seperti melawat tempat-tempat bersejarah, taman tema, pusat perlancongan dan pelbagai tempat menarik yang belum dilawati.

Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak berkelah di air terjun, pantai atau tasik yang boleh mendekatkan anak-anak dengan alam semulajadi. Sudah pasti perbelanjaan tidak besar kerana tidak perlu tiket yang mahal untuk dibayar ketika mengunjungi tempat tersebut serta boleh membawa bekalan makanan dari rumah.

Aktiviti ini adalah yang paling membosankan bagi anak-anak apabila tiba musim cuti sekolah. Tetapi masa yang ada perlu dimanfaatkan sebaiknya terutama bagi anak-anak yang bakal menghadapi peperiksaan besar pada tahun hadapan. Ulangkaji secara ringkas perlu dilakukan agar anak-anak tidak lupa apa yang telah mereka belajar. Buatlah jadual waktu belajar untuk anak-anak agar mereka mampu berdisiplin menguruskan diri ketika waktu lapang.

Kepesatan penggunaan teknologi pada zaman sekarang memerlukan anak-anak untuk mempunyai kemahiran menggunakan komputer. Ibu bapa boleh menghantar anak-anak untuk mengikuti kelas suntingan video, pembinaan laman web, grafik, fotografi sesuai dengan minat mereka kerana ini merupakan nilai tambah yang membawa kebaikan ketika mereka sudah dewasa untuk mendapat pekerjaan. Penggunaan teknologi juga akan melahirkan anak-anak yang kreatif menggunakan daya imaginasi yang tinggi.

Perniagaan dapat mendidik anak-anak untuk mempunyai sifat jujur, sabar, amanah, bertanggungjawab dan berani menghadapi sebarang risiko. Anak-anak juga berpeluang mencari duit poket sendiri.

Perkara yang paling penting, anak-anak perlulah sentiasa dipantau oleh ibu bapa dan orang yang lebih dewasa. Mereka boleh melakukan perniagaan yang ringan seperti menjual kerepek, air minuman, roti dan buah-buahan.

Perancangan aktiviti yang bermanfaat kepada anak-anak amat penting agar mereka tidak mudah terjebak dengan kegiatan yang boleh merosakan akhlak dan membuang masa. Bimbingan dan masa yang diluangkan oleh ibu bapa terutama ketika masa lapang anak-anak akan lebih mengeratkan jalinan kasih sayang.

ARTIKEL YANG SAMA