Lalah FC buka tirai Futsal

Lalah FC buka tirai Futsal

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 24 Ogos – Lalah FC membuka tirai Kejohanan Futsal sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 Tahun dengan membaham Pasukan West Assets FC 6–0 dalam peringkat saringan bagi Kumpulan C, sekali gus memberi amaran kepada pihak lawan yang lain bahawa mereka akan mempertahankan kejuaraan yang mereka menangi pada tahun lepas bagi edisi kali kedua ini.

Acara anjuran bersama Pertubuhan Bola Sepak Daerah Belait (PBDB) dan Brunei Methanol Company (BMC) kali kedua bagi Daerah Belait ini melihat sebanyak 20 pasukan berentap di peringkat saringan Kumpulan A hingga D untuk merebut kejuaraan berupa wang tunai $1,000 bagi johan.

Sebelum pembukaan perlawanan pertama, Perasmiannya telah dilaksanakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif BMC iaitu Awang Daud bin Haji Jais, selaku tetamu kehormat di mana beliau diperkenalkan kepada setiap ketua pasukan yang mengambil bahagian. Beliau juga dipelawa menendang bola ke gawang gol sebelum perlawanan di antara BMC dengan Panaga FBT A bermula.

Turut hadir pada pagi itu untuk menyaksikan perlawanan-perlawanan tersebut ialah Pegawai Daerah Belait, Haji Harris bin Othman, Ahli-Ahli Mesyuarat Negara Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad dan Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Haji Dulamin.

Kejohanan ini bermula selama seminggu dengan peringkat saringan telah bermula kelmarin, dan perlawanan sebenar berlangsung pada 25, 26 dan 28 Ogos bermula jam 8 malam hingga 10 malam, peringkat suku akhir akan bermula pada 29 Ogos nanti dari jam 8 malam hingga 10 malam. Peringkat separuh akhir dan akhir pula akan bermula pada 30 Ogos bermula jam 10 pagi.

Awang Daud (kanan) bersedia membuat tendangan bagi merasmikan pembukaan kejohanan tersebut.
Awang Daud (kanan) bersedia membuat tendangan bagi merasmikan pembukaan kejohanan tersebut.
Aksi dari salah satu perlawanan kejohanan futsal tersebut.
Aksi dari salah satu perlawanan kejohanan futsal tersebut.

Dalam temu ramah bersama Media Permata semasa acara perasmian kelmarin, Awang Daud memberitahu penajaan anjuran bersama kejohanan ini adalah hasil dari kejayaan dan usaha sama di antara PBDB dan Syarikat BMC mengadakan kejohanan yang sama pada tahun lepas.

“Hasrat BMC adalah untuk menjadikan usaha kerjasama ini sebagai acara tahunan sebagai sebahagian daripada sambutan perayaan di bulan ini, dan perancangan ini akan dibawa dari setahun ke setahun terutamanya bagi menyemarakkan lagi suasana di bulan perayaan menyambut Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-69 Tahun,” katanya lagi.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif BMC itu, pihak BMC ingin menyumbang kepada perkembangan sukan bola sepak dan futsal sebagai sebahagian daripada tanggungjawab Sosial Korporat syarikat ini, mereka juga menggalakkan serta mengamalkan kehidupan yang sihat dari segi HLP (Healthy Lifestyle Program) kepada kakitangan-kakitangan mereka.

“Dengan penyertaan Pasukan BMC yang terdiri daripada kakitangan-kakitangan dari Jabatan Operasi yang setentunya adalah di antara jabatan yang memainkan peranan penting dalam pengendalian operasi seharian di tempat kerja, penyertaan mereka dalam kejohanan ini akan membolehkan mereka mengikuti kegiatan yang sihat, sambil mempraktikkan amalan ‘Work Life Balance’ dalam hidup mereka,” jelasnya kepada Media Permata.