Laluan baru bas pekeliling Pekan Seria

Laluan baru bas pekeliling Pekan Seria

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 16 Dis – Pekan Seria bakal mempunyai perjalanan bas pekeliling yang baru bagi kawasan-kawasan di bawahnya setelah perancangan bagi empat jadual perjalanan bas baru bagi Daerah Belait menerima kelulusan akhir nanti.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Dr. Haji Supry bin Haji Ladi semasa ditemu ramah Media Permata, hari ini berkata, perkembangan terbaru bagi jalan-jalan yang dilalui perkhidmatan bas itu nanti akan merangkumi lima kawasan perumahan berdekatan dengan Pekan Kuala Belait dan Seria, yang diharap dapat memperbaiki perkhidmatan bas bagi Daerah Belait.

“Ketika ini kami sedang meneliti cadangan yang diberikan oleh pengusaha bas dengan kajian kami sendiri, sebelum berbincang untuk memuktamadkan laluan-laluan yang baru itu,” katanya lagi.

Empat warna berbeza sedang dirancang untuk menyesuaikan empat laluan bas berkenaan bagi orang ramai, menggantikan sistem sedia ada di daerah itu yang terdiri daripada enam bas ungu yang menyediakan perkhidmatan ke laluan tunggal dari Kuala Belait ke Seria.

Laluan baru itu akan memerlukan sekurang-kurangnya 20 buah bas, yang disasarkan untuk beroperasi dalam jangka masa 30 minit.

Bas laluan keliling berwarna ungu akan ditukarkan kepada empat warna mengikut empat haluan bas yang baru.
Bas laluan keliling berwarna ungu akan ditukarkan kepada empat warna mengikut empat haluan bas yang baru.

Laluan pekeliling khusus untuk Seria akan termasuk perhentian di kesemua pintu utama dalam mukim, termasuk kampung setinggan di Jabang, malah laluan tambahan juga telah disusun untuk melimpasi kawasan Pandan serta Mumong.

“Kesinambungan adalah isu utama yang dihadapi masa ini kerana sistem sekarang ini, di Mumong sebagai contoh, anda mungkin terpaksa berjalan jauh ke tempat perhentian bas yang sedia ada hanya untuk menaiki bas ke Seria,” jelas beliau.

Selain daripada laluan baru, Dr. Haji Supry berkata, kesalinghubungan akan bertambah baik di bawah pelan baru dengan mereka bentuk laluan berasingan supaya saling berpautan antara satu sama lain.

“Di bawah pelan baru, orang ramai juga akan dapat bertukar-tukar satu bas ke bas yang lain atau bertukar laluan; anda boleh berada di satu laluan, dan diturunkan di tempat yang lain,” tambah beliau lagi.

Pada masa ini, bas ungu bagi Daerah Belait memulakan operasi jam 6:30 pagi di Terminal Bas Seria dan Kuala Belait, di mana satu perjalanan mengambil masa antara 25 hingga 45 minit, bergantung kepada bilangan hentian dan perjalanan terakhir yang berakhir pada 7:30 malam.

Laluan yang ada pada masa ini belum mempunyai sebarang perkhidmatan kepada penduduk dari Skim Perumahan Panaga 2000 atau STKRJ Mumong.

ARTIKEL YANG SAMA