Laluan bas di bandar Tawau distruktur semula agar lebih sistematik

Laluan bas di bandar Tawau distruktur semula agar lebih sistematik

TAWAU, 28 Jan – Laluan bas di pusat bandar Tawau akan distruktur semula agar lebih sistematik, kata Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Alijus@Mohd Ali Sipil.

Katanya, sistem laluan bas yang diguna pakai Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan diaplikasikan di daerah ini dengan perkhidmatan bas mengikut laluan tertentu yang ditetapkan.

“Penyusunan semula laluan bas ini dilihat penting dan menjadi keperluan untuk dilakukan dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menjamin keselesaan pengguna perkhidmatan awam di daerah ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Tugas Presiden MPT oleh Datuk Ismail Mayakob kepadanya di MPT hari ini.

Mengenai kemudahan tempat letak kereta, Mohd Ali berkata pihaknya akan mengambil langkah terbaik dengan mencari tanah atau kawasan bersesuaian bagi memenuhi keperluan masyarakat ekoran pertambahan kenderaan setiap tahun.

Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan projek mega yang dirancang sebelum ini antaranya Projek Pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC), Projek Landskap Daerah dan Projek Pembinaan Stesen Bas di Bandar Sri Indah akan diteruskan. – Bernama