Laluan jadi negara membangun

Laluan jadi negara membangun

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Khairil Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Kerajaan Brunei Darussalam dan Bank Pembangunan Asia (ADB) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang bertujuan membuka jalan bagi Negara Brunei Darussalam diklasifikasikan sebagai salah sebuah negara membangun.

Ia juga mengenal pasti bidang baru dengan sokongan ADB bagi rancangan pembangunan strategik kerajaan Wawasan 2035.

Perkara ini diumumkan oleh Presiden ADB, Takehiko Nakao dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan selepas majlis mengadap kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini.

MoU berkenaan telah dimeterai pada majlis yang berlangsung di Tingkat 18, Bangunan Kementerian Kewangan, pagi tadi. sebelum majlis mengadap.

Menandatangani bagi pihak Brunei Darussalam ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kewangan, Haji Nazmi bin Haji Mohamad dan ADB diwakili oleh Ketua Pengarah Jabatan Asia Tenggara, James Nugent.

Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman dan Takehiko Nakao bergambar ramai bersama wakil Brunei Darussalam dan wakil ADB yang menandatangani MoU berkenaan.
Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman dan Takehiko Nakao bergambar ramai bersama wakil Brunei Darussalam dan wakil ADB yang menandatangani MoU berkenaan.

Nakao, dalam kenyataan akhbar itu, turut menjelaskan bahawa di bawah MoU berkenaan, ADB akan membantu Brunei Darussalam dalam kapasiti meningkatkan kualiti dan mengukuhkan institusi pendidikan, meningkatkan pembangunan sektor swasta, mempelbagaikan eksport, meningkatkan iklim pelaburan, mengukuhkan perlindungan alam sekitar, dan menyokong kerjasama ekonomi serantau.

“Saya memuji kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam keterbukaannya kepada kerjasama ekonomi di Asia Tenggara dan negara luar yang lain, dan promosi pembangunan sektor swasta, termasuk perkhidmatan kewangan serta perusahaan kecil dan sederhana,” kata Nakao.

Beliau yang dalam rangka lawatan kerja ke negara ini, juga telah bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II yang juga Gabenor ADB, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Brunei Darussalam atas sumbangan aktif sebagai ahli/anggota ADB, termasuk sebagai penderma kepada Dana Infrastruktur ASEAN yang ditadbir oleh ADB dan Dana Pembangunan Asia.

Menurut kenyataan akhbar itu, berikutan tiga tahun mengalami kemelesetan/kemerosotan, ADB menjangka keluaran dalam negara kasar (KDNK) Brunei Darussalam akan meningkat sebanyak 1.0 peratus pada tahun ini, dan meningkat kepada 2.5 peratus pada tahun 2017 jika permintaan global dan harga eksport minyak dan gas kembali pulih.

Penggunaan persendirian meningkat teguh pada tahun 2015 sebanyak 5.2 peratus dan dijangka terus berkembang berikutan pertumbuhan ekonomi yang semakin meningkat.

Sebagai ahli Komuniti Ekonomi ASEAN dan program kerjasama sub-rantau Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur- Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA), Brunei Darussalam komited untuk meningkatkan perdagangan dan kerjasama serantau. ADB menyediakan sokongan nasihat kepada BIMP-EAGA.

Semasa lawatan berkenaan, Nakao telah menyampaikan syarahan mengenai prospek ekonomi Asia di Kementerian Kewangan bagi kakitangannya dan jemputan yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari kementerian dan agensi yang terpilih.

ADB, yang berpusat di Manila, sangat berdedikasi untuk mengurangkan kemiskinan di Asia dan Pasifik melalui pertumbuhan ekonomi yang inklusif, pertumbuhan alam sekitar yang mapan, dan integrasi serantau.

Ditubuhkan pada tahun 1966, ADB akan memperingati ke-50 perkongsian pembangunannya di rantau ini. Ia dimiliki oleh 67 orang ahli dan 48 daripadanya adalah dari rantau ini. Pada tahun 2015, bantuan ADB berjumlah $27.2 bilion, termasuk pembiayaan bersama sebanyak $10.7 bilion.

ARTIKEL YANG SAMA