Laluan mudah Chong Wei ke undian utama

Laluan mudah Chong Wei ke undian utama

TOKYO/KUALA LUMPUR, 9 Sept – Seperti dijangka pemain perseorangan Malaysia, Datuk Lee Chong Wei tidak berdepan masalah mara ke undian utama Siri Super Terbuka Jepun 2015 apabila memenangi kedua-dua perlawanan kelayakan semalam.

Chong Wei yang sedang memperbaiki kedudukan ranking dunia, tidak memberi belas kasihan kepada pemain Scotland Alistair Casey dalam perlawanan kelayakan pertama dengan kemenangan 21-3, 21-3.

Pada perlawanan kelayakan kedua Chong Wei diberi sedikit tentangan wakil Korea Selatan Kwang Hee Heo namun masih mampu mencatat kemenangan 21-10, 21-12 untuk mara ke undian utama.

Menanti Chong Wei di pusingan pertama hari ini, pemain Thailand Boonsak Ponsana dan berkemungkinan bertemu musuh tradisi Lin Dan (China) di pusingan kedua. Malah seorang lagi jagoan negara berkenaan, Chen Long menantinya di suku akhir. Bagaimanapun, Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen memuji persembahan awal Chong Wei di pusingan kelayakan walaupun sedar pemain berkenaan berdepan laluan berliku di Jepun.

“Dia bermain dengan baik dan mantap. Paling penting dia tidak membuang tenaga begitu saja,” kata Frost ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Lee Chong Wei (kiri) menandatangani autograf selepas perlawanan pusingan kedua kelayakan badminton Terbuka Jepun menentang Kwang Hee-Heo dari Korea Selatan di Tokyo. – AFP
Lee Chong Wei (kiri) menandatangani autograf selepas perlawanan pusingan kedua kelayakan badminton Terbuka Jepun menentang Kwang Hee-Heo dari Korea Selatan di Tokyo. – AFP

Bekas pemain perseorangan Denmark itu juga yakin, Chong Wei tidak berdepan masalah untuk terus mencatat kemenangan apabila bertemu Boonsak di pusingan pertama hari ini.

Chong Wei sekarang ini menduduki ranking 28 dunia dan sekali lagi akan bermula di pusingan kelayakan pada Siri Super Terbuka Korea Selatan 2015 yang berlangsung dari 15 hingga 20 September ini.

Ditanya mengenai peluang beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Frost berkata, kedua-duanya diharap dapat beraksi cemerlang namun mempunyai peluang berbeza dalam undian.“V Shem-Wee Kiong harus cuba untuk beraksi sebaik mungkin dan mengambil peluang dalam undian yang tidak sukar kali ini.

Bagi beregu campuran pula, kami sedar mereka berdepan laluan sukar,” kata Frost.V Shem-Wee Kiong akan bertemu pasangan Jepun Hiroyuki-Saeki-Ryota Taohata manakala Peng Soon-Liu Ying berdepan wakil China, Wang Yilv-Luo Yu hari ini. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA