Laluan sukar buat Switzerland

Laluan sukar buat Switzerland

PARIS, 16 Jun (AFP) – Switzerland diulit kekecewaan dalam percubaan untuk menempah tiket ke pusingan kalah mati Euro 2016 selepas diikat 1-1 dengan pencabar Kumpulan A Romania di Paris, semalam.

Jaringan penalti Bogdan Stancu memberi kelebihan awal buat Romania di Pard des Princes dan Switzerland melepaskan beberapa peluang keemasan sebelum Admir Mehmedi melepaskan rembatan padu untuk menyamakan kedudukan selepas berselang 17 minit babak kedua.

Switzerland kini akan berdepan Perancis di Lille pada Ahad ini, dengan perlu mengutip sebanyak mungkin mata bagi memastikan tempat ke pusingan kalah mati. Perancis pula menentang Albania di Marseille dalam satu lagi pertembungan malam nanti.

Stancu yang beraksi buat kelab Turki, Genclerbirligi pantas mengukuhkan statusnya sebagai pakar sepakan penalti dalam saingan kali ini, selepas turut mencetak gol menerusi penalti ketika Romania tewas 2-1 kepada Perancis dalam aksi pembukaan Sabtu lalu.

Namun kapten Switzerland, Stephan Lichtsteiner harus dipersalahkan untuk penalti terbabit selepas tonggak Juventus itu menarik baju penyerang Alexandru Chipciu dan pengadil dari Rusia, Sergei Karasev tidak teragak-agak menghadiahkan penalti.

Apapun, penalti itu belum cukup untuk menimbulkan kemarahan pengendali Switzerland, Vladimir Petkovic jika dibandingkan dengan kelemahan barisan serangannya yang mensia-siakan beberapa peluang keemasan pada sepanjang perlawanan.

grafik