Laman sesawang Kanada kena godam

Laman sesawang Kanada kena godam

OTTAWA, 18 Jun (AFP) – Para penggodam menganggul alan sesawang kerajaan Kanada selama beberapa jam semalam, menurut para pegawai kanan, tetapi menafikan bahawa sebarang data peribadi terjejas dalam serangan siber tersebut.

Penggodam menamakan diri mereka Anonymous mengaku bertanggungjawab melakukan penggodaman itu dalam rakaman video dalam talian, sambil berkata ia dilakukan sebagai membantah undang-undang antipengganas yang mencetuskan kontroversi kerana memberikan lebih kuasa kepada agensi pengintipan Kanada.

Laman sesawang awam kerajaan bagi permohonan perkhidmatan kebajikan sosial dan borang muat turun rasmi terjejas seketika dalam serangan siber berkenaan, kata Presiden Lembaga Perbendaharaan Tony Clement dalam mesej Twitternya. Turut terjejas ialah laman sesawang Parlimen, Industri dan Kerja Awam Kanada.

“Sah pada hari ini berlaku serangan siber ke atas beberapa laman sesawang kerajaan Kanada,” kata Clement melalui tweetnya.

Menteri Keselamatan Awam, Steven Blaney, mengesahkan bahawa laman sesawang kerajaan menjadi mangsa serangan siber, tetapi berkata maklumat individu dalam keadaan selamat.

Penggodam Anonymous mengaku bertanggungjawab melakukan serangan siber ke atas laman sesawang kerajaan Kanada kerana membantah undang-undang antipengganas yang mencetuskan kontroversi ekoran ia memberikan lebih kuasa kepada agensi pengintipan Kanada. – Reuters
Penggodam Anonymous mengaku bertanggungjawab melakukan serangan siber ke atas laman sesawang kerajaan Kanada kerana membantah undang-undang antipengganas yang mencetuskan kontroversi ekoran ia memberikan lebih kuasa kepada agensi pengintipan Kanada. – Reuters

“Serangan siber dan keselamatan siber adalah isu yang perlu diambil perhatian secara serius,” kata Blaney.

“Kami meningkatkan sumber-sumber kami dan dasar yang lebih baik untuk menangani serangan siber, sama ada daripada penggodam tempatan atau dari luar negara.”

Rang undang-undang C-51, kata kumpulan penggodam itu, melanggar hak asasi awam Kanada, dan menyasarkan “kumpulan minoriti dan para penentang.”

“Adakah kita dagangkan privasi kita bagi keselamatan?” soal suara dalam rakaman video berkenaan.