Laman sesawang tentera AS pula kena godam

Laman sesawang tentera AS pula kena godam

WASHINGTON, 9 Jun (AFP) – Laman sesawang rasmi tentera Amerika Syarikat digodam semalam dengan beberapa mesej mengutuk tindakan Washington melatih pejuang pemberontak di Syria, tetapi tiada data yang dicuri, menurut pegawai-pegawai.

Akibat penggodaman itu, tentera AS memutuskan penutupan sementara laman sesawang itu, yang disediakan untuk dilayari orang awam dengan maklumat asas dan tidak mengandungi data rahsia atau peribadi, kata pegawai-pegawai berkenaan.

“Para komander anda mengakui mereka melatih orang-orang yang mereka hantar untuk mati berjuang,” menurut salah satu mesej daripada penggodam.

Satu pertubuhan menamakan diri mereka “Tentera Elektronik Syria” mengaku melakukan serangan siber itu, dan membuat posting di akaun Twitter. Kumpulan tersebut dipersalahkan kerana penggodaman dan serangan siber ke atas laman sesawang Pentagon itu yang mengutuk kumpulan pemberontak menentang rejim Syria.

“Hari ini elemen laman sesawang Army.mil menjadi mangsa penggodaman,” jurucakap tentera Brigedier Jeneral Malcolm Frost berkata dalam satu kenyataan.

“Selepas kami menyedarinya, tentera mengambil langkah sewajarnya untuk mencegah tidak berulang lagi insiden itu yang setentunya akan menjejaskan data tentera. Kami buat keputusan menutup sementara laman sesawang itu,” kata Frost. Kumpulan rejim pro-Syria dikaitkan dengan beberapa penggodaman laman sesawang portal berita sejak beberapa tahun lepas, termasuk akaun Twitter perkhidmatan foto AFP.

ARTIKEL YANG SAMA