Lambang kerjasama dua hala

Lambang kerjasama dua hala

Oleh Sim Y. H. & Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani & Sim Y.H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Nov – Persidangan Persahabatan Rakyat ASEAN-China melambangkan kerjasama dua hala sehingga berjaya mengukuhkan lagi semangat perpaduan dan persahabatan dalam kalangan warganya melalui pelbagai program.

Presiden Persatuan ASEAN-China, Gu Xiulian, menambah persidangan itu juga berjaya meningkatkan lagi interaksi dan persahabatan penduduk kedua-dua pihak.

Beliau menekankan perkara ini ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Persidangan Persahabatan Rakyat ASEAN-China ke-10, yang disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, di Dewan Tarindak D’Seni, Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei di ibu negara, hari ini.

Gu Xiulian dalam ucapannya turut menyatakan bahawa ASEAN dan China akan terus mengukuhkan lagi hubungan persahabatan dengan pertukaran lawatan yang lebih kerap.

Pada masa yang sama, beliau juga berharap perhubungan, kerjasama dan perkongsian pengalaman persatuan ini akan menjadi jambatan dan platform bagi rakyat untuk terus bekerjasama.

Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar melawat pameran sempena Persidangan Persahabatan Rakyat ASEAN-China ke-10.
Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar melawat pameran sempena Persidangan Persahabatan Rakyat ASEAN-China ke-10.

Beliau juga menyatakan harapan untuk meneruskan usaha ke arah meningkatkan perpaduan, kerjasama, pembangunan dan pengukuhan persahabatan di antara ASEAN dan China.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap ASEAN dan China akan saling membantu dan menyokong usaha untuk mencapai hasrat satu komuniti yang mempunyai satu matlamat yang sama.

Beliau juga melahirkan keyakinan bahawa kerjasama ini mampu memberikan ruang kepada pembangunan yang memberi kepentingan bersama di mana China akan menyediakan peluang dan ruang kepada negara anggota ASEAN untuk membangun manakala China pula dapat berkongsi manfaat dalam pembangunan rantau ini.

Gu Xiulian juga menekankan, mengekalkan kestabilan dan kemakmuran di antara rantau ini sudah menjadi kepentingan bersama China dan ASEAN, dan beliau yakin kedua-dua pihak akan terus berdiri teguh menghadapi pelbagai cabaran demi kemakmuran serantau.

Persatuan ini, katanya lagi, akan terus menyokong usaha untuk meningkatkan kerjasama dan mengukuhkan persahabatan dalam membangunkan sebuah komuniti ASEAN-China yang harmoni.

ARTIKEL YANG SAMA