Lampu isyarat Jln RIPAS mula beroperasi

Lampu isyarat Jln RIPAS mula beroperasi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jan – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan memaklumkan bahawa persimpangan di Jalan Raya Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) telah dinaikkan taraf kepada persimpangan berlampu isyarat iaitu di persimpangan Jalan Istana Nurul Iman dan Jalan RIPAS yang akan mula beroperasi esok (8 Januari) jam 9:00 pagi.

Menurut kenyataan JKR, sistem lampu isyarat di persimpangan berkenaan beroperasi bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya serta mengawal pergerakan lalu lintas dengan lebih efisien dan memudahkan para pengguna jalan raya untuk keluar dan masuk dengan selamat dan lebih teratur. Sehubungan itu, JKR menasihatkan para pengguna jalan raya yang akan menggunakan Jalan RIPAS bagi memandu dengan lebih berhati-hati dan mematuhi papan-papan tanda arahan lalu lintas yang disediakan untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Sementara itu, bagi kenderaan-kenderaan berat yang melebihi ketinggian 4.5 meter tinggi disarankan untuk mengelakkan daripada melalui kawasan projek jejambat di persimpangan Jalan Babu Raja/ Jalan Tutong dan diharap dapat menggunakan laluan alternatif.

Sebarang aduan, orang ramai bolehlah menghubungi pihak jabatan melalui Talian Darussalam 123, Facebook Jabatan Kerja Raya, Brunei Darussalam dan e-mel pro@pwd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA