Lampu solar bantu penduduk pedalaman

Lampu solar bantu penduduk pedalaman

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Okt – Golongan yang kurang berkemampuan khususnya di kawasan pedalaman bakal menerima sumbangan penuh bermakna yang akan memudahkan kehidupan harian mereka terutama pada waktu malam menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat Schneider Electric, Light It Up, di mana syarikat berkenaan bersama-sama 14 buah syarikat rakan perniagaan mereka akan menyumbangkan sebanyak 105 biji lampu LED solar kepada 26 buah rumah di Daerah Tutong pada 9 Oktober nanti.

Projek yang buat kali pertama dilaksanakan oleh Schneider Electric bersama syarikat rakan perniagaannya itu, akan membantu untuk membawa kemudahan lampu yang bukan sahaja selamat tetapi juga menggunakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui iaitu kuasa tenaga suria.

Pelancaran Program Light It Up itu berlangsung di Starbucks, Beribi, hari ini dan disempurnakan oleh Presiden Cawangan Schneider Electric Brunei, Jeffrey Yap.

Lampu Solar, Mobiya TS120s yang akan disumbangkan kepada 26 buah keluarga di Daerah Tutong.
Lampu Solar, Mobiya TS120s yang akan disumbangkan kepada 26 buah keluarga di Daerah Tutong.

Bercakap kepada Media Permata, Jeffrey berkata, Program Light It Up merupakan projek tahunan Schneider Electric bagi memberikan peluang atau akses bagi komuniti pedalaman kepada kemudahan kuasa tenaga elektrik dengan menghulurkan sumbangan lampu LED tenaga suria atau solar.

Ini merupakan kali pertama ia diadakan di Negara Brunei Darussalam. Bagi 2016, lebih 1, 700 unit lampu LED Solar, Mobiya disumbangkan kepada komuniti pedalaman di 12 buah negara rantau Asia Pasifik iaitu Bangladesh, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Mongolia, Myanmar, Pakistan, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Menurut Jeffrey, bagi projek di Brunei, mereka menerima bantuan daripada Kelab Rotary Bandar Seri Begawan dan juga Jabatan Daerah Tutong untuk mengenal pasti sebanyak 26 buah rumah yang memerlukan bantuan iaitu di Kampung Benutan, Kampung Supon Besar dan Kampung Mapol, Daerah Tutong di mana mereka kurang berkemampuan serta tidak mempunyai akses kepada bekalan tenaga elektrik.

ARTIKEL YANG SAMA