Lancar kempen 300,000 tandatangan, penerbangan terus ke Sibu

Lancar kempen 300,000 tandatangan, penerbangan terus ke Sibu

SIBU, 10 Jan (Bernama) – Parti Rakyat Bersatu (UPP) akan melancarkan ‘Kempen 300,000 Tandatangan’ minggu depan sebagai sokongan untuk mendapatkan penerbangan terus ke Sibu dari Kota Kinabalu, Singapura dan Fuzhou, China.

Presidennya, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata kempen itu melibatkan kerjasama dengan Majlis Perbandaran Sibu (SMC).

Beliau berkata kempen itu bertujuan meyakinkan syarikat berkenaan dalam memperkenalkan penerbangan terus ke Sibu untuk membawa pelancong ke kawasan tengah Sarawak.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Tahunan SMC di sini malam tadi, Wong berkata kempen itu juga bertujuan meyakinkan Kementerian Pengangkutan untuk memberi kebenaran dan hak penerbangan kepada syarikat penerbangan berkenaan.

Usaha itu merupakan sebahagian daripada persiapan bagi menjayakan Tahun Melawat Sibu 2017, kata Wong, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Sarawak. Beliau berkata penerbangan terus itu penting memandangkan Sibu merupakan pintu masuk ke kawasan tengah Sarawak yang kaya dengan pelbagai tarikan pelancongan.

Tanpa jaringan langsung udara seumpama itu, usaha mempromosi industri pelancongan di kawasan tersebut agak mustahil, katanya.