Lancar program terap budaya membaca

Lancar program terap budaya membaca

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 22 Mac – Dalam usaha menerapkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat di negara ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melancarkan Program Membaca di Rumah Sakit bertempat di Ruang Legar Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait hari ini.

Hadir melancarkan program itu ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan di Kementerian Kesihatan, Pengiran Dr. Haji Mohd Khalifah bin Pengiran Haji Ismail.

Turut hadir ialah Pemangku Pengarah DBP, Hajah Nortijah binti Haji Mohd Hassan dan Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Haji Sahari bin Haji Nasar.

Ketua Pegawai Perpustakaan, Dayang Norhasinah binti Haji Moksin dalam ucapan alu-aluannya menyatakan program ini bertujuan membantu pesakit pulih dan ia merupakan salah satu kaedah penyembuhan digelar ‘Biblioterapi.’

Gambar ramai ahli jawatankuasa penganjur bersama tetamu kehormat majlis.
Gambar ramai ahli jawatankuasa penganjur bersama tetamu kehormat majlis.

“Apabila pesakit membaca bahan bacaan yang bersesuaian, ia memberikan kesan terapeutik dan ketenangan kepada mereka, malah membaca juga menjadikan pesakit berfikiran positif, sekali gus dapat membantu mengurangkan perasaan sakit mereka,” kata Dayang Norhasinah.

Menurutnya lagi, sebanyak lapan buah troli dipenuhi buku bacaan terkini disediakan dan ia akan dibawa bergerak ke tempat-tempat strategik seperti kawasan menunggu bagi pesakit, kaunter pendaftaran, preskripsi ubat, tempat mengambil darah dan wad-wad pesakit terutamanya wad kanak-kanak.

Kegiatan Membaca Bersama ini akan dijalankan sebulan sekali seperti yang dijadualkan pada jam 9 pagi pada tarikh 18 April, 21 Mei, 20 Jun, 21 Julai, 24 Ogos, 20 September, 22 Oktober, 21 November dan 15 Disember.

Objektif utama kegiatan sedemikian diadakan adalah untuk menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam menjana kepentingan dan menggalakkan masyarakat celik ilmu pengetahuan melalui budaya membaca.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk memperkasa budaya membaca dalam kalangan masyarakat Brunei dan di samping melestarikan pembelajaran sepanjang hayat.

ARTIKEL YANG SAMA