Lancar semula rundingan strategik

Lancar semula rundingan strategik

KAHERAH, 2 Ogos (AFP) – Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry mengadakan pertemuan dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi di Kaherah hari ini untuk melancarkan semula rundingan strategik, dalam jelajah mini serantau untuk memberi penerangan jelas kepada para sekutu yang masih skeptis mengenai perjanjian nuklear Iran.

Kerry, yang kemudian akan membuat perjalanan ke Qatar, pada mulanya akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Mesir, Sameh Shoukry.

Kunjungan beliau dibuat beberapa hari selepas Washington melaksanakan penghantaran pertama jet pejuang F-16 kepada Mesir sejak ia menghentikan bantuan ketenteraan pada Mac berikutan penyingkiran oleh tentera pada 2013 ke atas presiden Mohamed Morsi.

Amerika Syarikat sekali lagi memberikan sokongan padu kepada Mesir, sekutu penting lama Timur Tengah, ketika Sisi bertindak menentang pemberontak kumpulan Negara Islam (IS) di Semenanjung Sinai.

John Kerry (tengah) ketika berucap pada majlis perasmian dialog strategik AS-Mesir di Kementerian Hal Ehwal Luar Mesir pada 2 Ogos 2015 di Kaherah. – AFP
John Kerry (tengah) ketika berucap pada majlis perasmian dialog strategik AS-Mesir di Kementerian Hal Ehwal Luar Mesir pada 2 Ogos 2015 di Kaherah. – AFP

“Salah satu sebab utama kenapa kami bergerak pantas ke depan adalah kerana anggaran kami bahawa Mesir berdepan ancaman amat serius daripada ISIL- pertubuhan gabungan di Sinai dan kami perlu untuk membantu mereka,” kata seorang pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat menjelang lawatan Kerry, dengan menggunakan nama singkatan bagi IS.

Bagaimanapun Washington masih kekal kritikal mengenai rekod hak asasi manusia Mesir.

Kunjungan Kerry, yang akan berakhir pada 8 Ogos, tidak akan termasuk Israel, salah satu sekutu paling rapat Washington, yang menerima kritikan hebat mengenai perjanjian nuklear pada 14 Julai di antara kuasa-kuasa dunia dan Iran.