Landasan baru perlu dibuat

Landasan baru perlu dibuat

LONDON, 1 Julai (Reuters) – Britain harus membina satu landasan kapal terbang baru di Lapangan Terbang Heathrow London, menurut satu cadangan oleh Suruhanjaya yang dilantik oleh kerajaan untuk mengkaji kapasiti lapangan terbang negara yang mungkin menimbulkan masalah politik kepada Perdana Menteri David Cameron.

Selepas menjalani kajian selama tiga tahun, Suruhanjaya Lapangan Terbang memilih satu landasan kapal terbang baru di Heathrow berbanding dua pilihan lain yang disenaraikan, berkata ia menawarkan Britain cara terbaik untuk menambah laluan jarak jauh ke pasaran baru yang dikatakannya “amat diperlukan.”

“Heathrow menawarkan faedah terbesar untuk penumpang perniagaan, operator pengangkutan dan ekonomi yang lebih luas,” kata pengerusi Suruhanjaya Howard Davies hari ini.

Kini terpulang kepada kerajaan untuk memutuskan sama ada menerima cadangan Suruhanjaya. Cameron memberitahu pengundi pada 2009, sebelum beliau menerajui tampuk pentadbiran, bahawa landasan kapal terbang di Heathrow tidak akan berlaku di bawah pemerintahannya, “tanpa jika, tanpa tetapi.”

Cadangan Heathrow diiringi oleh satu pakej langkah untuk mengehadkan bunyi dan kesan alam sekitar ke atas landasan kapal terbang baru, dalam satu percubaan untuk meredakan kebimbangan yang mana sebelum ini telah mencetuskan bantahan dan perpecahan politik.

Penggubal undang-undang bersetuju kawasan tenggara England memerlukan satu landasan kapal terbang baru untuk ia kekal kompetitif dari segi ekonomi, tetapi membina satu landasan kapal terbang berhampiran kawasan barat London yang padat penduduknya merupakan satu isu toksik dari segi politik yang pada tahun 2010 membawa kepada pembatalan pelan pengembangan sebelumnya.

ARTIKEL YANG SAMA