Landasan berkembar mula hujung tahun

Landasan berkembar mula hujung tahun

BATU PAHAT, 11 Mac (Bernama) – Pembinaan projek landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Baharu (EDTP) yang menelan belanja kira-kira RM7 bilion, dijangka bermula hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata projek seumpama ini kebiasaannya akan ambil masa tiga hingga lima tahun untuk siap sepenuhnya.

“Ini merupakan hadiah untuk negeri Johor, yang mana kemampuan perkhidmatan landasan ini akan meningkat 10 kali ganda, dan secara automatik kita akan dapat menggunakan tren elektrik,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Surau Al-Ikhwan, Taman Pura Kencana, Sri Gading, di sini Jumaat.

Abdul Aziz berkata dengan selesainya urusan pengambilan tanah projek itu sepatutnya selesai bulan ini, projek itu akan dimulakan pada hujung tahun.

Pada 6 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatan sehari ke Johor Baharu mengesahkan projek itu akan diteruskan seperti yang dibentangkan pada pembentangan Bajet 2016.

Datuk Abdul Aziz Kaprawi ketika menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan Surau Al-Ikhwan Pura Kencana kelmarin. – AFP
Datuk Abdul Aziz Kaprawi ketika menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan Surau Al-Ikhwan Pura Kencana kelmarin. – AFP

Menurut Najib yang juga Menteri Kewangan, landasan itu akan melengkapkan rangkaian landasan berkembar elektrik hingga ke Padang Besar (Perlis).

Rangkaian kereta api di Malaysia kini sepanjang 1,641.4 kilometer, dengan 46 peratus membabitkan trek berkembar elektrik. EDTP Gemas-JB apabila siap, akan meningkatkan rangkaian kereta api elektrik kepada 58 peratus.

Landasan berkembar sepanjang 197 kilometer itu, mempunyai kapasiti reka bentuk halaju 160 km/j manakala halaju operasi sekitar 140 km/j.

Projek itu akan mempunyai 11 stesen melibatkan tiga kategori stesen iaitu stesen utama, stesen sekunder dan stesen operasi, yang lebih menumpukan kepada operasi barang-barang.

Stesen utama dibuka di Segamat, Kluang dan Kempas Baru manakala stesen sekunder meliputi Labis, Bekok, Paloh, Renggam, Layang-Layang, Kulai-jaya, sementara stesen operasi di Genuang dan Mengkibol.

Selain itu, pembinaan landasan berkembar itu turut melibatkan sistem elektrifikasi 25kV, sistem persemboyanan dan komunikasi serta kawalan terus dari pusat kawalan dan pengurusan di KL Sentral dan Gemas.

Apabila siap sepenuhnya, sebanyak 22 perkhidmatan kereta api beroperasi sehari yang merangkumi perkhidmatan antara bandar, perkhidmatan ulang alik dan perkhidmatan tren elektrik.

ARTIKEL YANG SAMA