Landasan sebar maklumat k’jaan

Landasan sebar maklumat k’jaan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 15 Sept – Untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan memberigakan perkembangan terkini mengenai usaha-usaha kerajaan ke arah mempertingkatkan taraf hidup masyarakat, Jabatan Penerangan telah menganjurkan Program Masyarakat Bermaklumat yang dihadiri oleh hampir 100 orang dalam kalangan penduduk Kampung Lorong Tiga Seria, di sini, hari ini.

Hadir sama pada program yang diadakan di Dewan Pejabat Daerah Belait cawangan Seria itu ialah Pemangku Pengarah Penerangan selaku tetamu kehormat, Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar, Ketua Kampung Lorong Tiga Selatan Seria, Haji Saidin bin Haji Ibrahim, serta pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan yang terlibat mengendalikan program tersebut.

Program selama dua hari itu telah dikendalikan melalui cawangan Penerangan Daerah Belait, selaras dengan usaha jabatan ke arah membudayakan masyarakat bermaklumat, manakala pengisian program seperti tajuk taklimat dan tempat lawatan adalah berdasarkan kepada pemilihan dan persetujuan dari mukim dan kampung tertakluk kesesuaiannya.

Pengerusi majlis, Hajah Rabi’atul’adawiyah binti Haji A. Ahmad dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, program tersebut juga merupakan salah satu landasan jabatan berkenaan untuk menyampaikan maklumat rasmi mengenai dasar dan maksud kerajaan supaya semua anggota masyarakat memahami, menyokong dan menghayatinya secara berkesan melalui penyampaian taklimat.

Antara yang menghadiri Program Masyarakat Bermaklumat di Dewan Pejabat Daerah Belait cawangan Seria.
Antara yang menghadiri Program Masyarakat Bermaklumat di Dewan Pejabat Daerah Belait cawangan Seria.

“Program ini juga adalah untuk mengukuhkan jati diri dan memberi keyakinan yang tinggi dalam menangani cabaran-cabaran, gejala-gejala dan pengaruh-pengaruh kehidupan yang boleh mengganggu keharmonian, kesejahteraan dan kestabilan kehidupan di negara ini, adalah diharapkan peserta program akan memperolehi maklumat dan pengetahuan melalui taklimat yang disampaikan oleh para penceramah dari pelbagai agensi,” katanya.

Menurutnya, selain daripada mendengarkan taklimat, pengisian program juga memberikan peluang kepada peserta untuk menyertai lawatan ke Jabatan Mufti Kerajaan dan Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei. Melalui lawatan-lawatan peserta tersebut akan berpeluang untuk meningkatkan pengetahuan masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA