Landskap Labuan bakal berkembang

Landskap Labuan bakal berkembang

LABUAN, 20 Julai – Landskap Labuan bakal berkembang dan berubah dengan ketara dengan pelaksanaan dan penyiapan satu pelan tindakan pembangunan, kata Anggota Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli.

Rozman berkata Labuan Corp sedang menyediakan satu pelan tindakan yang komprehensif dan terperinci dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka melancarkannya pada akhir tahun.

Beliau berkata input-input daripada pelbagai kementerian relevan, pemain industri dan kerajaan negeri Sabah telah diperoleh dalam penyediaan pelan tindakan itu. “Disokong dengan pelbagai potensi pelaburan, kami yakin dapat menyumbang kepada keseluruhan rantau ini.

“Ini sejajar dengan aspirasi kerajaan Sabah untuk melihat Labuan maju apabila ia bersetuju menyerahkan pulau ini kepada kerajaan Persekutuan,” katanya.

Rozman berkata demikian pada sidang akhbar de-ngan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim, pada majlis pelancaran Laporan Tahunan Perkhidmatan Kewangan Labuan 2015 baru-baru ini.

Beliau berkata masih ada ‘laluan terputus’ yang perlu ditangani, yang merupakan hubungan ke tanah besar Borneo (Sabah dan Sarawak).

“Kami masih mahu menekankan kepada ‘idea jambatan’, pembinaan jambatan yang kelaknya akan membantu menambah baik ekonomi dan penduduk pulau ini serta melengkapkan kawasan sekitarnya. Pelan tindakan itu telah menggariskan Labuan menjadi bandar satelit,” katanya.

Labuan telah mempelbagaikan ekonominya dengan menumpukan kepada sektor pelancongan dan pendidikan, ekoran kejatuhan harga minyak, katanya.

“Kami menerima penerbangan terus dari China tahun ini yang akan membawa sekurang-kurangnya 2,000 pelancong China seminggu ke pulau ini.

“Penaikan taraf prasarana di pulau ini bagi pelancong dan pengunjung sedang dalam perancangan,” katanya.

Beliau berkata Malindo Air dijangka memperkenalkan penerbangan berjadual dari bandar raya lain ke Labuan dan sebaliknya.

Sementara itu, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan yang besar ke pulau bebas cukai itu bagi pembangunan di sini sejak era awal Labuan dijadikan sebagai satu daripada wilayah persekutuan.

Rozman berkata dana itu telah membolehkan pulau tersebut berkembang dan menikmati pembangunan pesat yang berterusan.

Beliau berkata status Labuan sebagai pusat kewangan antarabangsa Malaysia telah membuka jalan bagi pelbagai pelaburan langsung dan pertumbuhan prasarana seperti jalan raya dan lapangan terbang. – Bernama