Langkah ASEAN hapus halangan bukan tarif antara negara anggota positif

Langkah ASEAN hapus halangan bukan tarif antara negara anggota positif

KOTA BHARU, 2 Okt – Langkah Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk menghapuskan halangan bukan tarif dalam kalangan negara anggota positif berikutan ia terlibat secara progresif mencari platform untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Chua Tee Yong berkata walaupun negara anggota menghadapi masalah, mereka sentiasa berbincang untuk mencari penyelesaiannya.

“Oleh itu, kami perlu mencari platform jika mahu menyelesaikan masalah ini. Selama ini, kemajuan menunjukkan positif dan atas alasan itu, kami dapat bekerjasama, malah untuk menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan China.

“Itu menunjukkan persepaduan bersama yang kami miliki untuk mencari penyelesaian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Perdagangan Sempadan ASEAN di sini kelmarin.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan Thailand, Winichai Chamenchang, Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Dzulkifli Mahmud.

Datuk Chua Tee Yong (kanan) ketika melawat gerai pameran selepas merasmikan Program Pameran Rentas Sempadan ASEAN 2016, baru-baru ini. – Bernama
Datuk Chua Tee Yong (kanan) ketika melawat gerai pameran selepas merasmikan Program Pameran Rentas Sempadan ASEAN 2016, baru-baru ini. – Bernama

Chua berkata ASEAN berbeza daripada Kesatuan Eropah (EU) berikutan ia menumpukan kepada konsensus antara negara yang terlibat.

“EU ditadbir oleh sebuah agensi pusat tetapi bagi kami, ia lebih kepada membina konsensus, dan itu sebabnya kumpulan tersebut dapat berkembang secara berperingkat,” katanya.

Sementara itu, Winichai berkata, ASEAN, yang cuba mengurangkan halangan bukan tarif, menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk meneliti masalah setiap negara.

Pameran selama tiga hari bermula semalam itu, telah menghimpunkan 46 pembeli luar dari Thailand, Myanmar dan Singapura dan 100 penjual berdaftar dari Malaysia.

Ia turut menjangka 322 pertemuan antara pembeli dan penjual. – Bernama