Langkah berjaga-jaga hindari Zika

Langkah berjaga-jaga hindari Zika

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Mereka yang ingin membuat lawatan ke negara-negara yang mempunyai jangkitan virus Zika dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta memastikan mereka tidak didedahkan kepada gigitan nyamuk iaitu nyamuk Aedes yang dikenal pasti sebagai vektor pembawa virus berkenaan.

Bagi ibu-ibu yang mengandung atau bagi mereka yang merancang untuk mengandung, mereka dinasihatkan untuk, jika boleh, menundakan rancangan melawat ke kawasan-kawasan yang mempunyai jangkitan virus Zika atau mereka boleh berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan khidmat nasihat lanjut.

Nasihat-nasihat bagi mereka yang ingin untuk melawat ke luar negara termasuk negara-negara yang mempunyai jangkitan virus Zika, dapat diperoleh dalam laman sesawang Kementerian Kesihatan di mana bukan sahaja ia memberikan nasihat tetapi juga maklumat mengenai cara untuk mengelakkan daripada jangkitan virus Zika.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi dalam temu bual bersama Media Permata semasa tinjauan kerja-kerja penyemburan pembunuh nyamuk (fogging) di Bandar Seri Begawan, hari ini.

Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan juga menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam pada masa ini, tidak mempunyai sebarang kes jangkitan virus Zika yang dilaporkan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain menyatakan bahawa orang ramai harus memainkan peranan mereka dalam sama-sama untuk memastikan tidak ada sebarang kawasan pembiakan nyamuk di kawasan rumah mereka.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain menyatakan bahawa orang ramai harus memainkan peranan mereka dalam sama-sama untuk memastikan tidak ada sebarang kawasan pembiakan nyamuk di kawasan rumah mereka.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain berkata lagi bahawa pihak kementeriannya akan terus mengadakan pemantauan serta akan berusaha untuk mengelakkan dan mengawal virus Zika serta peranan orang ramai dalam membantu mencegah jangkitan virus berkenaan.

Pada masa yang sama, beliau menjelaskan lagi bahawa virus Zika bukannya virus yang baru tetapi telah mula dikesan pada 1947, namun begitu baru-baru ini terdapat laporan mengenai berlakunya wabak jangkitan berkenaan di beberapa buah negara di Amerika Latin dan yang terkini di negara rakan, Republik Singapura.

Menurut kajian perubatan, katanya, kebanyakan kes jangkitan virus Zika iaitu sehingga 80 peratus, tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda atau simptom. Walau bagaimanapun, sebahagian kecil pesakit boleh mengalami tanda-tanda seperti demam, sakit otot, sakit sendi, sakit kepala, konjunktivitis dan ruam.

Jangkitan itu juga berkemungkinan ada berkaitan dengan simptom neurologi dan mikrosefali dalam kalangan anak damit yang baru lahir.

Beliau turut berkata bahawa tidak ada rawatan khusus bagi merawat ataupun vaksin bagi mencegah jangkitan virus Zika dan rawatan adalah lebih tertumpu pada rawatan sokongan untuk melegakan tanda-tanda jangkitan, jika diperlukan.

Yang Berhormat Dato menekankan lagi bahawa orang ramai boleh membantu dalam pencegahan virus Zika berkenaan dengan memastikan bahawa kawasan sekeliling mereka sentiasa bersih dan untuk memastikan tidak ada kawasan pembiakan nyamuk yang merupakan pembawa virus berkenaan.

Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk memastikan mereka tidak terdedah kepada gigitan nyamuk terutama pada waktu awal subuh atau senja di mana nyamuk-nyamuk aedes bergiat aktif dan memastikan mereka memakai baju lengan panjang atau penghadang serangga.

Sementara itu, Penguasa Perubatan Kesihatan Awam, Dr Justin Wong berkata bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak menasihatkan untuk mengadakan sekatan perjalanan ataupun perdagangan ke atas negara-negara terjejas dan tidak menasihatkan penyaringan khusus bagi penyakit-penyakit tersebut di pintu-pintu masuk.

Walau bagaimanapun, orang ramai yang telah pun mengunjungi negara yang terjejas dan mempunyai tanda-tanda jangkitan dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan di pusat-pusat kesihatan yang berdekatan.

Jangkitan virus Zika ialah sejenis jangkitan yang dibawa oleh nyamuk Aedes Aegypti sebagaimana jangkitan yang menyebabkan demam denggi dan chikungunya di mana nyamuk Aedes memang didapati di negara-negara tropika termasuk Brunei.

Virus Zika terdiri daripada genus Flavivirus dalam keluarga Flaviviridae dan virus itu boleh merebak daripada seorang yang dijangkiti virus Zika ke seorang yang sihat melalui gigitan nyamuk jenis Aedes. Selain itu, terdapat risiko kecil virus berkenaan merebak melalui hubungan seksual.

Hasil pemantauan entomologi (serangga) menunjukkan nyamuk Aedes memang terdapat di Negara Brunei Darussalam di mana nyamuk berkenaan sering membiak di dalam bekas-bekas yang boleh menakung air seperti tin-tin kosong, lapik pasu bunga, tayar-tayar yang terdedah dan sampah sarap yang terbiar.

Pembiakannya didapati meningkat berlipat ganda selepas musim hujan. Lazimnya, nyamuk ini akan keluar pada awal pagi dan lewat petang.

ARTIKEL YANG SAMA