Langkah dinanti-nantikan

Langkah dinanti-nantikan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 27 Julai – Pengurangan caj import dan eksport merupakan langkah yang amat dinanti-nantikan oleh peniaga di seluruh negara termasuklah Daerah Belait kerana ia bukan sahaja mengurangkan kos mereka, malahan akan memberi manfaat kepada orang ramai kerana barangan keperluan akan dapat dikurangkan harganya.

Peniaga-peniaga di Daerah Belait menyambut baik usaha Jabatan Pelabuhan dalam pengurangan caj itu di Pelabuhan Muara bermula Ogos depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Kumpulan Serikandi Sdn Bhd, Shaikh Khalid bin Shaikh Haji Ahmad semasa ditemu bual wartawan Media Permata, melahirkan rasa syukur atas langkah yang amat dinanti-nantikan itu.

Menurutnya, pengurangan itu pastinya akan membuatkan peniaga dapat mengurangkan kos sekurang-kurangnya 20 peratus untuk barangan harian keperluan orang ramai.

“Sebelum ini, kos pelabuhan telah dijadikan alasan untuk menaikkan harga barangan dan dengan langkah pengurangan caj ini, setentunya peniaga dapat menurunkan sedikit harga barangan mereka dan memberi manfaat kepada orang ramai terutamanya mereka yang bergaji kecil,” tambahnya.

Syarikat beliau yang mengimport barangan makanan dan minuman dari beberapa buah negara seperti Thailand, Malaysia, Singapura, Itali, India dan Perancis juga menyambut baik langkah melanjutkan tempoh penyimpanan percuma kontena kepada lima hari bagi memberikan lebih masa sebelum pengisytiharan barangan import diberikan.

“Syarikat kami mengimport sekurang-kurangnya 70 peratus barangan daripada beberapa negara termasuk rempah-ratus dari India, dan daripada kos caj pelabuhan, harga barangan menjadi agak mahal apa lagi caj penyimpanan terlebih masa juga menjadikan kos mahal, tetapi dengan adanya lanjutan masa yang diberikan secara percuma itu nanti, saya yakin, ia boleh memberi manfaat kepada kami amnya dan orang ramai khasnya.”

Manakala seorang lagi peniaga import yang enggan dikenali berpendapat, pengurangan caj merupakan satu kelebihan yang boleh menjadikan kos sesuatu barang rendah, manakala lanjutan tempoh penyimpanan kontena merupakan satu kebaikan kepada pengimport.

Namun beliau kurang pasti sama ada ia bermanfaat kepada peniaga kerana pengurangan adalah masih di tahap minimum.

Beliau juga berpendapat menurunkan caj pelabuhan tidak begitu siginifikan untuk menarik lebih banyak kargo dan kapal ke Pelabuhan Muara, tetapi juga perlu meningkatkan kemudahan, seperti turut mempercepatkan proses kelulusan pengisytiharan barangan.

“Daripada lima hari penyimpanan secara percuma, bagi saya, mengurangkan masa menunggu adalah lebih efisen, kontena cepat dikeluarkan, dan para peniaga juga dapat segera membuat penghantaran ke kilang dan mulai menjualnya,” ujarnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA