Langkah keselamatan di bulan Ramadan

Langkah keselamatan di bulan Ramadan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jun – Bersempena bulan Ramadan tahun 2015 ini, Pasukan Polis Diraja Brunei telah mengongsikan langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil sepanjang bulan suci ini.

  • Semasa meninggalkan rumah untuk pergi bekerja pastikan keadaan rumah selamat daripada dimasuki penjenayah dengan memastikan pintu, tingkap dan pagar dikunci dan ditutup rapat.
  • Jangan meninggalkan sebarang harta benda yang boleh menyebabkan penjenayah tertarik untuk melakukan curi.
  • Sila pastikan sebarang peralatan elektronik dan dapur gas dalam keadaan yang selamat daripada berlaku kebakaran.
  • Sila maklumkan kepada jiran terdekat jika meninggalkan rumah dalam jangka masa yang lama.
  • Semasa berkunjung ke gerai-gerai Ramadan, sila pastikan kereta diletakkan dengan teratur dan mempunyai sifat bertolak ansur bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
  • Sila pastikan tidak meninggalkan sebarang harta benda berharga di dalam kereta yang boleh dilihat oleh penjenayah dan menyebabkan kereta dipecah dan terjadi kecurian.
  • Sebelum memandu, pastikan kereta tersebut di dalam keadaan selamat.
  • Jangan memandu dengan laju dan mementingkan diri sendiri hingga menyebabkan kecederaan kepada diri sendiri, orang lain dan harta benda jika hendak ke destinasi dituju.
  • Sila pastikan sentiasa memandu dengan menggunakan tali pinggang keselamatan dan mengingatkan penumpang dan menggunakan kerusi yang dikhaskan bagi anak-anak damit.
  • Penunggang-penunggang motosikal diingatkan untuk memakai topi keledar yang selamat dan diluluskan.
  • Apabila pergi ke masjid bagi menunaikan sembahyang fardu dan sembahyang sunat tarawih, pastikan kereta diletakkan di tempat yang dikhaskan dan tidak menghalang jalan dan jangan meninggalkan barang berharga dan meletakkan kereta di tempat gelap yang boleh menyebabkan kereta dipecah dan harta benda dicuri.
  • Semasa meninggalkan masjid hendaklah bertolak ansur dan beri laluan kepada pengguna-pengguna jalan raya yang lain bagi mengelakkan sebarang kemalangan.
  • Ibu bapa juga diingatkan supaya memantau anak-anak mereka supaya jangan terlibat dengan sebarang aktiviti yang tidak sihat dalam bulan Ramadan seperti sebarang aktiviti jenayah dan kesalahan lalu lintas.
  • Semasa menghadapi masa bersahur sila pastikan keadaan luar rumah selamat dan pintu serta tingkap rumah ditutup dan dikunci rapat bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.

Pasukan Polis Diraja Brunei, dalam kenyataannya, di sini, hari ini, turut menggesa orang ramai supaya melaporkan segera jika ternampak sebarang pergerakan yang mencurigakan dengan menghubungi talian kecemasan 993 atau balai-balai Polis yang berdekatan. Maklumat yang diberikan akan membantu pihak polis dalam menyekat jenayah yang boleh berlaku kepada mereka.

ARTIKEL YANG SAMA