Langkah penjimatan kukuhkan MAS

Langkah penjimatan kukuhkan MAS

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) – Penjimatan kos sekurang-kurangnya RM180 juta pada peringkat awal menerusi kontrak katering serta ratusan juta lagi daripada perbelanjaan pembayaran gaji yang mengecil susulan bilangan pekerja yang lebih rendah dalam tempoh tiga tahun akan datang, akan meletakkan Malaysia Airlines (MAS) baharu pada kedudukan yang lebih kukuh untuk mencatat keuntungan pada 2018, seperti yang disasarkan, kata seorang ahli akademik hari ini.

Dr Ahmad Rizal Mazlan, Pengarah kampus Kuala Lumpur Universiti Utara Malaysia (UUM), berkata syarikat penerbangan negara itu sudah terlalu lama dibelenggu kos operasi yang besar, sehingga lebih 20 peratus berbanding saingannya, kos pembayaran gaji yang tinggi, selain mengeluarkan barangan sendiri pada paras kos yang tidak kompetitif.

“Tidak seperti MAS lama, MAS baharu akan lebih kecil dengan hanya 14,000 tenaga kerja. Menerusi penjimatan kos daripada kontrak katering dan pengurangan kos bayaran gaji selepas 6,000 ditamatkan perkhidmatan, MAS dijangka merapatkan jurang 20 peratus kos yang lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.

Rundingan semula kontraknya dengan pembekal katering dalam penerbangan, Brahim, merupakan langkah pertama yang baik dan boleh diguna pakai untuk kontrak pembekal lain MAS, katanya.

“Penjimatan kos ini dijangkakan meningkatkan lagi kontrak yang akan dirundingkan semula dengan potensi setinggi RM2 bilion dalam tempoh tiga tahun,”katanya.

Menteri Sumber Manusia Malaysia ketika mengadakan lawatan melihat model pesawat MAS Airbus A380. – Bernama
Menteri Sumber Manusia Malaysia ketika mengadakan lawatan melihat model pesawat MAS Airbus A380. – Bernama

Dalam analisisnya, Dr Rizal berkata berasaskan perbelanjaan operasi MAS sebanyak RM3.55 bilion pada suku ketiga 2014, penjimatan 20 peratus bagi menyamai kos pesaing MAS diterjemahkan kepada penjimatan sekurang-kurangnya RM700 juta setahun atau RM2 bilion dalam tempoh tiga tahun ketika Malaysia Airlines merealisasikan keuntungan pada 2018.

“Berikutan kedudukan industri itu yang semakin kompetitif, inisiatif penjimatan kos sudah dijangkakan. MAS tidak bersendirian. Thai Airways baru-baru ini melepaskan 1,401 pekerja dan menggantung laluan yang merugikan menerusi pelan penstrukturan dua tahunnya.”

Dr Rizal berkata fasa pertama pelan penstrukturan MAS meletakkan keutamaan yang tepat, dengan memberi tumpuan ke atas langkah-langkah ‘menghentikan kerugian’ dalam bidang kritikal seperti pengecilan kapasiti yang bersesuaia, menghapuskan sumber yang merugikan, mengurangkan bilangan pekerja dan merundingkan semula kontrak bagi memulakan operasi yang bersih apabila entiti baharu Malaysia Airlines Bhd (MAB) dilancarkan.

“Penstrukturan semula ini yang menyaksikan kemunculan entiti baharu telah membetulkan beberapa perubahan struktur yang akan meletakkannya pada kedudukan yang lebih kukuh, dari segi kewangan dan kos. MAB kini perlu mengurus operasi sebagai entiti perniagaan.

“Industri penerbangan kini semakin kompetitif, MAB bukan sahaja perlu bersaing dengan syarikat perniagaan perkhidmatan penuh yang lain bahkan juga dengan syarikat penerbangan tambang rendah yang semakin bertambah banyak sejak 10 tahun yang lepas. Kini, kita mempunyai lebih daripada tiga syarikat penerbangan yang terbang dalam laluan yang sama, sekali gus memberi cabaran yang besar untuk mendapatkan penumpang untuk terbang dengan syarikat penerbangan negara,” katanya.

Dr Rizal berkata sukar dibayangkan bahawa MAS mempunyai sebanyak 20,000 pembekal seperti yang diperakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif baharunya Christoph Mueller, sedangkan yang idealnya ia hanya perlu mempunyai antara 2,000 dan 2,500. Ini membuktikan bahawa syarikat penerbangan itu beroperasi dalam sistem perolehan yang tidak stabil dan menyukarkan penjimatan kos.