Langkah proaktif kawal Pokemon Go

Langkah proaktif kawal Pokemon Go

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Permainan Pokemon Go, permainan realiti berperantara berasaskan lokasi yang menjadi fenomena di seluruh dunia dan negara ini turut menjadi tumpuan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) di sini apabila ia mengambil langkah-langkah proaktif bersama agensi-agensi relevan untuk mengawalnya.

Pengawalan itu termasuklah menghindari institusi-institusi agama dan peribadatan di negara ini seperti masjid dan kawasannya serta tanah perkuburan, termasuklah kawasan mercu tanda terkawal dan sepatutnya dikawal daripada menjadi medan perkumpulan dan tidak menjadikan tempat-tempat berkenaan sebagai Pokemon Stop atau Pokemon Gym.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman (gambar) menekankan perkara itu dalam satu sidang media di Bilik Mushawwarah, Bangunan Tambahan Baru KHEU petang tadi.

Yang Berhormat Pehin menyeru agar umat Islam di negara ini membetulkan niat dan etika ketika mengunjungi kawasan institusi agama dan peribadatan tersebut yang mana niat utamanya adalah untuk beribadat, beriktikaf, berzikir dan meraih keberkatan serta keampunan daripada Allah S.W.T dan bukanlah untuk lalai dan leka dengan urusan duniawi dan perkara-perkara merugikan.

pg01_160813_a

Menurut Yang Berhormat Pehin, kementeriannya yang melihat perkembangan trend permainan Pokemon Go ini dari sudut keagamaan, kemasyarakatan, perindustrian, sosial dan kemanusiaan, telah mengambil maklum langkah-langkah penting yang telah dikeluarkan oleh pihak Polis Diraja Brunei berkaitan dengan penggunaan permainan ini dan kementerian juga turut mengikuti perkembangan daripada pihak-pihak berkuasa atau agensi agama di luar negara.

Menurut Yang Berhormat Pehin, didapati mereka mempunyai pendirian dan pandangan yang berbeza serta tiada kesamaan dalam isu permainan Pokemon Go dan animasi berkenaan. Justifikasi pendirian tersebut dilihat berdasarkan kepada pengamatan dan impak terhadap sosiobudaya negara masing-masing yang telah terjadi semenjak permainan Pokemon Go dikenalkan.

Kementerian Hal Ehwal Ugama juga menasihatkan orang ramai agar berhati-hati, berwaspada dan mengawal diri anak-anak serta keluarga mereka daripada terjebak kepada kelalaian, kelekaan, kerosakan, bahaya dan juga pelbagai kemudaratan akibat kelekaan bermain Pokemon GO.

Kementerian ini juga, jelas Yang Berhormat Pehin, seterusnya akan membuat kajian dan penyelidikan lebih lanjut ke atas risiko perisian atau kandungan aplikasi permainan serta animasinya khasnya bahaya dan kesannya kepada kefahaman masyarakat Islam daripada aspek akidah dan pemikiran.

Yang Berhormat Pehin juga berharap orang ramai akan sama-sama memberikan reaksi yang positif dalam mengawal obsesi permainan Pokemon Go supaya tidak berlakunya perkara-perkara yang boleh menjejaskan keharmonian dan kemaslahatan hidup bermasyarakat serta mengambil langkah-langkah konstruktif untuk memastikan kesejahteraan penduduk negara ini terjamin sesuai dengan maqasid syariah iaitu penjagaan agama, penjagaan nyawa dan tubuh badan, penjagaan akal, penjagaan keturunan serta harta.

ARTIKEL YANG SAMA