Langkah tepat demi kelangsungan komersial

Langkah tepat demi kelangsungan komersial

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) – Tindakan serta langkah tepat sedang diambil bagi meletakkan Malaysia Airlines Bhd pada asas demi membolehkannya terus bertahan secara komersial, kata seorang profesor strategi terkemuka serta pakar penyelidik industri penerbangan.

Professor Loizos Heracleous daripada Warwick Business School, United Kingdom, tampil menyuarakan sokongannya terhadap langkah Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) bakal dilantik, Christoph Mueller, bagi menyelamatkan syarikat penerbangan kebangsaan yang berdepan masalah kewangan itu.

Mengulas komen bahawa Malaysia Airlines ‘secara teknikal telah muflis,’ beliau berkata biarpun sejarah perkhidmatan syarikat penerbangan itu disifatkan amat baik, namun kecekapannya terjejas yang disusuli kerugian yang berpanjangan.

“Bersandarkan legasi syarikat penerbangan milik negara, Malaysia Airlines turut mengalami beberapa kekangan dari segi mengoptimumkan laluan, jumlah kakitangan serta kecekapan operasi amnya,” katanya menerusi emel kepada Bernama.

Malah, rentetan peristiwa tragik tahun lepas hanya menjejaskan langkah penstrukturan semula syarikat itu yang amat diperlukan serta sepatutnya dilaksanakan sejak dahulu lagi, tegas Heracleous, yang telah melatih atau memberi nasihat kepada kalangan eksekutif beberapa firma saham mewah termasuk IBM, Total, Rolls-Royce, KPMG, Standard Chartered, O2 dan Bank of China.

“Kelebihan CEO (Mueller) yang berpengalaman luas menerajui program pemulihan berjaya itu amat bersesuaian demi prestasi masa depan Malaysia Airlines. Nampaknya beliau turut mendapat kebenaran syarikat utama untuk melaksanakan tugasnya bagi memantapkan kecekapan operasi serta daya saing Malaysia Airlines.

“Amat penting sepanjang proses penstrukturan semula ini Malaysia Airlines tidak mengetepikan langsung tugas hakiki, khususnya kualiti perkhidmatan.

“Penarafan kualiti lima bintangnya kini ‘di bawah kajian’ pihak Skytrax dan jika ia terbukti tidak konsisten, ada kemungkinan Malaysia Airlines akan menerima penarafan lebih rendah,” katanya.

Skytrax adalah sistem penarafan penerbangan global bagi produk serta perkhidmatan, keselamatan selain turut menjadi penanda aras untuk piawaian penerbangan.

ARTIKEL YANG SAMA