Langkah tepat kembangkan perusahaan

Langkah tepat kembangkan perusahaan

Oleh Pg Fairol RMF, Siti Nur Wasimah S & Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Julai – Para pengimport dan pengeksport di negara ini rata-rata menyambut baik serta mengalu-alukan langkah Jabatan Pelabuhan untuk mengurangkan caj import dan eksport kontena sebanyak 36 peratus berkuat kuasa 1 Ogos ini serta menganggapnya sebagai langkah tepat ke arah mengembangkan perusahaan untuk manfaat perusahaan kecil dan sederhana di negara ini.

Pengurus Besar Mitsubishi, Daihatsu dan Perodua, Au Thien Kiong berkata, pengurangan berkenaan merupakan satu kelebihan bagi syarikat untuk mengimport barangan dari luar negara dengan perbelanjaan yang lebih rendah.

Menurutnya, setakat ini Syarikat Goh Hock Kee Motors Sdn Bhd hanya menggunakan kontena untuk membawa kenderaan berat dari China dan menggunakan penghantaran udara untuk mendapatkan barangan yang lebih cepat.

Akan tetapi, tambahnya, mereka memang sudah merancang untuk menggunakan kontena untuk membeli peralatan kereta di import secara lebih banyak.

Jabatan Pelabuhan dalam pengumumannya kelmarin berkata, selain pengurangan caj, ia juga melanjutkan tempoh penyimpanan percuma untuk semua kontena import dan eksport. Lanjutan dari dua hingga lima hari dijangka berpotensi menjimatkan kos simpanan untuk penerima dan pengirim barangan bagi membolehkan masa yang mencukupi untuk pemprosesan kelulusan permit.

Langkah tersebut adalah selaras dengan inisiatif memudahkan perniagaan di bawah perdagangan rentas sempadan khususnya dalam menarik pelaburan asing langsung (FDI) ke Brunei dan juga sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan industri tempatan dengan mengurangkan kos logistik.

Mengulas isu tersebut, Pengurus Jualan Syarikat Setia Motors Sdn Bhd, Awang Fadhillah Sulaiman turut memberi pendapat sama seraya berkata, pengurangan caj itu memberi kesan positif kepada perbelanjaan syarikat pada masa hadapan.

“Walaupun kami tidak menggunakan kontena untuk membawa kereta-kereta ke Negara Brunei Darussalam, tetapi ianya sangat berguna bagi mengurangkan kos perbelanjaan syarikat untuk pembawaan peralatan kereta secara berlebihan seperti enjin dan transmisi setelah difahamkan adanya pengurangan caj di Terminal Kontena Muara.

“Jika pengurangan itu juga melibatkan caj pengimportan menggunakan pesawat juga akan lebih baik bagi syarikat b1ahkan bagi perusahaan kecil dan sederhana kerana ia sangat berguna semasa menempah apa-apa peralatan yang diperlukan secara segera,” tambahnya.

Pandangan sama turut dikongsi Pengurus Jualan Peugeot, Annison yang berkata perubahan ini setentunya memberi kesan baik kepada rangkaian syarikat penghantaran di negara ini, kerana kos harga semakin rendah, lebih banyak aktiviti import dan eksport akan dijalankan yang akan membawa kepada kerjasama di antara perusahaan.

“Selain itu, pengurangan caj import dan eksport kontena ini dijangka akan membawa kesan kepada pengurangan harga peralatan kereta untuk pengguna, ini bukan kerana untuk hanya mendapatkan keuntungan bahkan memberi faedah kepada pelanggan”.

Sementara itu, bagi Pengurus Jualan Samima Sdn Bhd, Awang Mohamad Rafi bin Haji Tajuddin, walaupun hampir 80 peratus produk barangan seperti buku, kartrij dan alat tulis mereka barangan import dari Malaysia, Singapura, India dan China, dan rata-rata caj pembayaran import yang menggunakan kontena tidak begitu mahal kerana mereka mengimport barang-barangan yang kecil dan bernilai, beliau turut melahirkan perasaan gembira dan bersyukur dengan pengurangan itu,

Ini kerana, menurutnya, syarikat mereka juga akan dapat mengurangkan lagi harga barang-barang yang dijual.

Menyentuh mengenai meningkatkan jumlah barangan import pula, beliau berkata, ia mengikut kehendak permintaan pelanggan sendiri, jika permintaan itu tinggi maka mereka juga akan mengimport dengan jumlah yang besar lagi.

Syarikat Samima mengimport barangan mereka pada setiap bulan kecuali pada musim-musim tertentu di mana mereka akan mengimport barang setiap dua minggu.

Awang Mohamad Rafi juga berpendapat bahawa dengan pengurangan caj ini, ia begitu bermanfaat kepada para pelanggan dan juga para penjual sendiri untuk tidak meninggikan harga produk mereka.

Penyelia Pusat Membeli-belah Teguh Raya Kiulap, Awang Fairuz juga bersetuju dan gembira dengan pengurangan caj import ini kerana kedai Teguh Raya merupakan pembekal yang mengambil barang jualan mereka dari gudang-gudang oleh itu mereka akan dapat menawarkan pelanggan dengan harga jualan yang rendah.

Sementara itu, salah seorang pembantu peribadi Syarikat CJMM Sdn Bhd, Janice merasa amat berbesar hati dengan usaha yang dibuat oleh Jabatan Pelabuhan tersebut yang menurutnya membolehkan syarikat lain dapat mendatangkan lagi barang-barangan import atau eksport mereka tanpa ada kerisauan.

Memandangkan syarikat mereka menawarkan alat-alat perabot rumah dan barang-barang keperluan lain dari China, syarikat mereka tidak mempunyai masalah dengan pengurangan caj yang ditentukan oleh pihak kerajaan, namun sebilangan mereka khuatir caj tersebut akan dikenakan di negara lain seperti di China yang akan menaikkan harga barangan yang diimport, jelas Jenice.

Memandangkan permintaan orang ramai dan dikhuatiri kekurangan stok, syarikat mereka perlu mengimport barangan melalui pelabuhan setiap dua minggu. Kadang-kadang untuk mendatangkan barang tersebut, ia juga memakan masa yang lama disebabkan cuaca dan atau masalah kastam yang dilalui.

Manakala itu, Pengurus Bit Computer Sdn Bhd, Yen Ling pula meluahkan rasa tidak pasti bahawa pengurangan caj import itu mempunyai hubung kait dengan harga jualan yang rendah kerana proses pengurangan caj tersebut belum lagi dijalankan.

Jika caj tersebut menunjukkan pengurangan yang banyak, mungkin ada sesetengah syarikat akan menurunkan harga barang yang dijual.

Menyentuh mengenai dengan tempoh penyimpanan percuma untuk semua kontena dari dua hingga lima hari, Yen Ling menyuarakan perasaan amat senang hati, kerana sebelum ini, setelah barang yang diimport menggunakan kontena tiba ke pelabuhan Brunei, mereka perlu mengambil barang tersebut dalam masa sehari dan dua hari, dan dikhuatiri jika melebihi hari, mereka juga akan dikenakan caj.

ARTIKEL YANG SAMA