Langkawi hos Kejohanan Layar Remaja Dunia Disember Ini

Langkawi hos Kejohanan Layar Remaja Dunia Disember Ini

LANGKAWI, 9 Sept – Langkawi akan menjadi tuan rumah Kejohanan Perahu Layar Remaja Dunia Persekutuan Persatuan-Persatuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF) yang akan bermula 27 Disember ini.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA), Mohd Afendy Abdullah berkata lebih 400 pelayar dari 83 buah negara akan mengambil bahagian dalam kejohanan itu yang akan diadakan di Kompleks Perahu Layar Kebangsaan di sini.

Malaysia akan menyenaraikan 14 pelayar remaja terbaiknya untuk menggalas cabaran negara dalam kejohanan yang agak besar ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata wakil negara itu merupakan antara 84 pelayar yang telah menamatkan satu kem latihan intensif yang diadakan di sini bulan lepas.

Kem latihan itu turut melibatkan pelayar-pelayar dari Indonesia dan Sweden, katanya. – Bernama