Lanjut operasi di sempadan Sarawak-Sabah mulai 1 Feb

Lanjut operasi di sempadan Sarawak-Sabah mulai 1 Feb

MIRI, 29 Jan – Waktu operasi di Pos Kawalan Imigresen di sempadan Merapok, Sarawak dan Sindumin, Sabah akan dilanjutkan sehingga pukul 12 tengah malam mulai Isnin ini.

Pengarah Jabatan Imigresen Sarawak Datuk Mohd Zulfikar Ahmad berkata dengan lanjutan masa itu, kedua-dua pos kawalan berkenaan kini selaras dengan waktu operasi di kawasan sempadan Sarawak dan Brunei yang mula dikuatkuasakan sejak 1 September 2015.

Beliau berkata ketika ini operasi kedua-dua pos kawalan itu adalah sehingga pukul 10 malam sahaja.

“Pada 2015, lebih 700,000 pelawat melalui pos kawalan Merapok dan Sindumin dan dengan lanjutan waktu operasi, kita jangkakan jumlah itu akan meningkat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya Komplek Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Sungei Tujuh (Miri), Tedungan (Limbang), Pandaruan (Limbang) dan Mengkalap (Lawas) yang waktu operasinya dilanjutkan pada 1 September lepas, mencatatkan lapan juta pelawat yang melalui empat pos kawalan itu.

“Daripada jumlah itu, 3.4 juta adalah pelawat asing kebanyakannya rakyat Brunei,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang-ramai untuk merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan di pos kawalan terutama sekali pada hujung minggu, cuti perayaan dan cuti persekolahan. –Bernama