Lanjutkan usia Baginda Sultan

Lanjutkan usia Baginda Sultan

Oleh Anwar Rosly, Pg Fairol RMF, Salawati Haji Yahya & Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Julai – Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 Majlis Keugamaan Solat Fardu Zohor Berjemaah, Membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran telah diadakan di semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara dengan tumpuan utama di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, hari ini.

Masjid-masjid yang dijadikan sebagai tumpuan ialah Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong, Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop, Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong, Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai
Kebun, Masjid Setia Ali, Pekan Muara dan Masjid Perpindahan Negara Lambak Kanan, bagi Daerah Brunei dan Muara.

Manakala di Daerah Belait pula ialah Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait, Masjid Perpindahan Negara Kampung Pandan Kuala Belait dan Masjid Pekan Seria.

Di Daerah Tutong pula, tumpuan adalah di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, dan di Daerah Temburong, ia diadakan di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.

Antara yang hadir di majlis yang berlangsung di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait.
Antara yang hadir di majlis yang berlangsung di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait.
Haji Abdul Hamid hadir di Majlis Doa Kesyukuran yang diadakan di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar. - Gambar Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
Haji Abdul Hamid hadir di Majlis Doa Kesyukuran yang diadakan di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar. – Gambar Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
Pasukan Polis Diraja Brunei turut mengadakan Majlis Doa Kesyukuran di Surau Ibu Pejabat Polis Gadong.
Pasukan Polis Diraja Brunei turut mengadakan Majlis Doa Kesyukuran di Surau Ibu Pejabat Polis Gadong.
Dato Paduka Haji Idris serta pemimpin pengakap membaca Surah Yasin di Balai Ibadah PPNBD, Jalan Gadong.
Dato Paduka Haji Idris serta pemimpin pengakap membaca Surah Yasin di Balai Ibadah PPNBD, Jalan Gadong.
Antara yang menghadiri Majlis Doa Kesyukuran Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-69 di Ibu Pejabat PPPBD.
Antara yang menghadiri Majlis Doa Kesyukuran Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-69 di Ibu Pejabat PPPBD.

Majlis ini diadakan bagi memohon doa dan munajat kepada Allah S.W.T semoga Baginda berserta kerabat diraja yang lainnya dilanjutkan usia, sihat serta kekal qarar memerintah negara dengan adil, aman dan penuh bijaksana.

Ia juga bagi menyembahkan kesyukuran dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kehadapan majlis Baginda Sultan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-69 tahun ini.

Majlis di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait, telah dihadiri oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Hasmiron bin Haji Mohd Taib yang juga selaku Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Sambutan Perayaan Bagi Daerah Belait.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara bagi Daerah Belait, ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Perayaan Bagi Daerah Belait, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, ketua-ketua jabatan dan cawangan Daerah Belait, para pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta serta penduduk di daerah berkenaan.

Di majlis itu, sembahyang fardu Zuhur dan Sunat Hajat diimamkan oleh Imam Masjid Muhammad Jamalul Alam, Haji Mohd Alias bin Bakar yang juga memimpin bacaan Surah Yasin dan Tahlil.

Manakala itu, doa kesyukuran dibacakan oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Haji Asminan bin Haji Chuchu.

Di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar pula, majlis dihadiri oleh Pegawai Daerah Temburong, Haji Abdul Hamid bin Dato Paduka Haji Abdullah selaku Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Sambutan Perayaan Bagi Daerah Temburong.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad, ketua-ketua cawangan jabatan kerajaan, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta penduduk di daerah berkenaan.

Sembahyang fardu Zuhur dan Sunat Hajat berjemaah telah diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Utama Mohammad Salleh, Haji Mohd Safrillah bin Haji Ahmad sekali gus memimpin bacaan Surah Yasin dan Tahlil, manakala itu, doa kesyukuran dibacakan oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, Awang Abdullah bin Namit.

Dalam pada itu, Pasukan Polis Diraja Brunei turut mengadakan majlis seumpamanya di Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, yang dihadiri oleh Pemangku Pengarah Logistik, Penguasa Kanan Polis Pengiran Jefri bin Pengiran Haji Abdul Hamid serta para pegawai kanan.

Turut menzahirkan rasa taat setia yang tidak berbelah bagi kepada pemerintah dan mensyukuri kerana mempunyai seorang raja yang berjiwa rakyat ialah Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) yang mengadakan Majlis Kesyukuran di Balai Ibadah PPNBD, Jalan Gadong.

Hadir di majlis itu ialah Yang Dipertua PPNBD, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas.

Turut hadir ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali, setiausaha agung PPNBD, para pesuruhjaya pengakap, pesuruhjaya pengakap daerah, ketua pegawai eksekutif pengakap, pegawai eksekutif pengakap, para pemimpin pengakap dan penolong pemimpin pengakap, ahli-ahli Pengakap Tunas, Pengakap Muda, Pengakap Remaja dan Pengakap Kelana.

Sementara itu, di Ibu Pejabat Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD), lebih 30 ahli persatuan berkenaan menghadiri majlis seumpamanya.

Antara yang hadir ialah Naib Yang Dipertua Sepanjang Hayat, para pesuruhjaya, timbalan pesuruhjaya, pemimpin dan ahli-ahli persatuan berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA