Lantikan komandan baru IL ABDB

Lantikan komandan baru IL ABDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB) kini mempunyai komandan baru dengan Upacara Serah Tugas yang diadakan di Padang Kawat IL ABDB, hari ini.

Pada upacara itu, Kolonel Haji Abidin bin Haji Abdul Hamid secara rasmi mengambil alih tugas sebagai Komandan IL ABDB daripada Leftenan Kolonel Hasmee bin Haji Abdul Wahab dengan menandatangani sijil serah terima tugas di hadapan para pegawai dan lain-lain peringkat tentera, pekerja awam termasuk peserta kursus dan rekrut.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, sebaik tiba di padang kawad, Leftenan Kolonel Hasmee menerima tabik kehormat dan seterusnya memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota IL ABDB di bawah perintah ketua perbarisan, Mejar Mazlan bin Dato Paduka Haji Manan.

Leftenan Kolonel Hasmee mula berkhidmat sebagai Leftenan Muda pada 13 Disember 1985.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah menjawat jawatan Ketua Platun di Kompeni ‘A’ Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei, pernah bertugas sebagai Ketua Pasukan Pemantau Antarabangsa Negara Brunei Darussalam di Cotabato, Mindanao, Republik Filipina dari tahun 2010 hingga 2011.

Upacara menandatangani Sijil Serah Terima Tugas Jawatan Komandan Institut Latihan ABDB.
Upacara menandatangani Sijil Serah Terima Tugas Jawatan Komandan Institut Latihan ABDB.
Leftenan Kolonel Hasmee (kiri) menyerahkan tugas kepada Kolonel Haji Abidin.
Leftenan Kolonel Hasmee (kiri) menyerahkan tugas kepada Kolonel Haji Abidin.
Komandan Institut Latihan ABDB baru memeriksa perbarisan kawalan kehormatan.
Komandan Institut Latihan ABDB baru memeriksa perbarisan kawalan kehormatan.

Selain itu, beliau memegang jawatan Timbalan Komandan IL ABDB pada tahun tahun 2012 dan menjadi Komandan IL ABDB pada tahun 2013.

Beliau juga telah dikurniakan beberapa penganugerahan bintang kebesaran dan pingat, antaranya Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia (Darjah Keempat) pada tahun 1998 dan pada tahun 2012 beliau dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia (S.M.B – Darjah Ketiga).

Manakala itu, Kolonel Haji Abidin pula pernah berkhidmat di institut latihan berkenaan pada tahun 2008 sehingga 2010 sebagai Pegawai Memerintah Cawangan Perkembangan Pegawai dan kini beliau diberi mandat untuk memegang jawatan Komandan IL ABDB.

Setakat ini, beliau telah dikurniakan beberapa penganugerahan bintang kebesaran dan pingat, antaranya Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia (Darjah keempat) pada tahun 2002 dan Pingat Kerja Lama dan Perangai Baik pada tahun 2006.

Bagi memberkati upacara, doa selamat telah dibacakan oleh Pemangku Penolong Ketua Jabatan Agama ABDB, Kapten Pengiran Khairuddin bin Pengiran Haji Tali.

Sementara itu, bagi menandakan penerimaan jawatan, Kolonel Haji Abidin menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan kawalan kehormatan.

ARTIKEL YANG SAMA