Lantikan Zidane satu kerja ‘gila’

Lantikan Zidane satu kerja ‘gila’

MADRID, 7 Jan – Keputusan Real Madrid untuk melantik Zinedine Zidane sebagai jurulatih baru mereka telah digambarkan sebagai satu “kegilaan” oleh bekas bos Bayern Munich, Ottmar Hitzfeld dalam satu temu bual bersama harian Switzerland, Blick.

“Baginya (Zidane) ia seperti memenangi loteri. Ia satu kegilaan,” kata Hitzfeld, 66, yang menamatkan kerjaya kejurulatihan selepas membawa Switzerland ke Piala Dunia 2014.

Hitzfeld menambah bahawa bekas pemain Perancis itu “hanya hidup dalam khayalannya sebagai seorang pemain.”

Satu-satunya pengalaman Zidane sebagai jurulatih ialah 18 bulan membimbing pasukan kedua Real Madrid, Castilla, dalam divisyen tiga bola sepak Sepanyol. “Zidane tidak membuktikan apa–apa sebagai jurulatih dan dia sekarang mengendalikan bintang–bintang terbesar dunia. Ia tugasan paling sukar walaupun saya berharap ia akan dalam keadaan baik baginya,” kata Hitzfeld.

Pep Guardiola dilantik menjadi jurulatih Barcelona biarpun satu–satunya pengalamannya membimbing pasukan ‘B’ Barca sehingga sokongan dari divisyen empat Sepanyol. Bagi Hitzfeld, yang memenangi Liga Juara–Juara sebagai jurulatih Borussia Dortmund dan Bayern, seorang pemain hebat tidak selalunya menjadikan jurulatih hebat kerana “ia juga bergantung ke atas penguasaannya sebagai bos.”

Zidane, 43, dilantik menjadi jurulatih Madrid pada Isnin lalu selepas pemecatan Rafael Benitez. – AFP

Zinedine Zidane yang baru dilantik sebagai jurulatih kelab gergasi Real Madrid. - Reuters
Zinedine Zidane yang baru dilantik sebagai jurulatih kelab gergasi Real Madrid. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA