Lanun bertutur bahasa Indonesia

Lanun bertutur bahasa Indonesia

HANOI, 21 Jun (AFP) – Lapan lelaki yang ditahan oleh Vietnam kerana disyaki merampas sebuah kapal tangki minyak Malaysia bertutur bahasa Indonesia dan membawa jumlah wang tunai yang banyak apabila mereka ditangkap, lapor media kerajaan, hari ini.

Kumpulan itu ditahan Jumaat lalu selepas mereka berhenti di Pulau Tho Chu, barat daya Vietnam di dalam bot penyelamat yang mana mereka didakwa mengalami kemalangan di laut.

Pada hari sama pihak berkuasa Malaysia berkata lapan lelaki yang telah merampas MT Orkim Harmony seminggu sebelumnya telah berjaya melepaskan diri daripada kapal perang dengan melarikan diri dengan bot penyelamat pada waktu gelap.

Kapal itu adalah yang terbaru menjadi sasaran lanun-lanun yang semakin bijak menjadi dalang di sebalik perampasan laut yang semakin meningkat di Asia Tenggara dalam tempoh dua tahun lalu yang lazimnya menyasarkan kapal tangki lebih kecil yang membawa minyak petrol berharga, diesel atau minyak gas.

VNExpress hari ini berkata kelapan-lapan lelaki itu – berusia dari 19 hingga 61 tahun – bertutur dalam bahasa Indonesia dan ‘tidak dapat menjelaskan asal jumlah besar mata wang asing yang mereka bawa dan berbelas-belas biji telefon.”

“Tersangka-tersangka ini sangat degil, enggan bekerjasama. Mereka profesional dan sangat tenang,” Leftenan Do Van Toan dari Polis Marin Vietnam dipetik sebagai berkata.

Seorang lagi pegawai polis marin, Kolonel Le Van Minh berkata para penyiasat ‘mempunyai alasan cukup untuk mendakwa kelapan-lapan tersangka ini’.

“Vietnam dengan aktif bekerjasama dengan Malaysia dalam kes ini. Perkara utama ialah bagaimana membuatkan mereka mengakui jenayah mereka,” tambahnya lagi.

Agensi berita kerajaan Indonesia melaporkan Jakarta telah mengarahkan kedutaannya di Hanoi untuk mengetahui kewarganegaraan mereka itu.

MT Orkim Harmony, yang membawa kira-kira 6,000 tan petrol yang dianggarkan bernilai $5.6 juta, dilaporkan hilang pada 11 Jun dalam perjalanan dari pantai barat Malaysia menuju pelabuhan Kuantan di pantai timur.

Seramai 22 anggota krew kapal itu tidak mengalami sebarang kecederaan melainkan seorang pelaut warga Indonesia yang mengalami cedera ringan yang sedang dirawat akibat kecederaan akibat ditembak di bahagian pahanya, menurut tentera laut Malaysia Jumaat lalu.

Lanun-lanun telah berjaya melepaskan diri dengan mengarahkan kapal tentera laut berada pada jarak lima batu nautika dari kapal atau krew akan dicederakan.

ARTIKEL YANG SAMA