Lanun rimba akan dihukum

Lanun rimba akan dihukum

Oleh Arissa

 

LAWAS, 31 Mei – Dalam usaha menangani aktiviti mencuri kayu balak di negeri ini, kerajaan akan terus lebih tegas menghukum ‘lanun rimba’ termasuk hukuman penjara mengikut Ordinan Perhutanan.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata kerajaan negeri memberi komitmen berterusan bagi memastikan tiada lagi aktiviti mencuri kayu balak termasuk mengenakan hukuman berat mengikut ordinan terbabit.

Tegasnya, selain hukuman penjara, hukuman berat dan berkali ganda juga akan dikenakan kepada lanun rimba di samping memperkuatkan anggota dan pegawai perhutanan.

“Hukuman berat ini sudah mula dikenakan kepada pencuri kayu balak apabila setiap hari dan minggu memang ada individu terbabit yang ditangkap dan dikenakan hukuman,”katanya pada Majlis Pra Gawai di sini malam kelmarin.

Turut sama ialah isteri Tan Sri Adenan, Datin Patinggi Puan Sri Jamilah Anu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu,Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, dan isteri, Datuk Dayang Morliah Awang Daud, menteri-menteri muda,Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agung, dan kenamaan lain.

SELAMAT HARI GAWAI...Adenan (tiga kiri) menerima cenderamata daripada ketua masyarakat Iban di Lawas, disaksikan Alfred (kiri), Jamilah dan Awang Tengah (empat kiri).
SELAMAT HARI GAWAI…Adenan (tiga kiri) menerima cenderamata daripada ketua masyarakat Iban di Lawas, disaksikan Alfred (kiri), Jamilah dan Awang Tengah (empat kiri).

Adenan menjelaskan lagi kerajaan juga akan berusaha untuk merapatkan jurang kehidupan antara masyarakat di bandar dan luar bandar yang masih banyak ketinggalan.

“Banyak penduduk luar bandar berhijrah ke bandar kerana tidak berpeluang mencari kerja di tempat mereka selain kemudahan tidak cukup dan hidup susah,”ujarnya lagi.

Pada masa sama jelasnya pelbagai program pembangunan juga dilaksanakan termasuk pembinaan empangan di beberapa kawasan di negeri ini untuk memberikan kemudahan bekalan elektrik yang lebih murah untuk rakyat Sarawak.

Katanya kadar elektrik di negeri ini adalah yang paling rendah berbanding negeri Sabah dan negeri lain.

Dalam pada itu beliau mahu rakyat terus menghormati bangsa dan keturunan lain.

“Kita amat bertuah menjadi penduduk Sarawak dan warganegara Malaysia dengan keadaan hidup yang aman damai dan makmur.