Laos mahu hantar pelajar belajar di UNISSA

Laos mahu hantar pelajar belajar di UNISSA

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Duta Republik Demokratik Rakyat Laos ke Negara Brunei Darussalam, Amphay Kindavong pagi tadi telah membuat kunjungan hormat kepada Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Dalam kunjungan tersebut, Amphay Kindavong yang diiringi oleh timbalan beliau turut mendengarkan penerangan ringkas mengenai UNISSA dan program-program yang ditawarkan oleh fakulti dan pusat.

Turut hadir dalam sesi perjumpaan berkenaan ialah Timbalan Rektor, Dr Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad serta beberapa orang pegawai utama UNISSA.

Menurut kenyataan UNISSA, kunjungan tersebut bertujuan untuk berbincang mengenai penghantaran pelajar-pelajar dari Republik Demokratik Rakyat Laos ke UNISSA khususnya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang.

Amphay Kindavong menyatakan bahawa para pelajar Laos sangat berminat untuk mendalami Undang-undang Sivil dan mengenali Undang-undang Syariah.

Dr Haji Nirarfan menerima cenderahati daripada Amphay Kindavong semasa kunjungan itu.
Dr Haji Nirarfan menerima cenderahati daripada Amphay Kindavong semasa kunjungan itu.
Dr Haji Norarfan ketika menerima kunjungan Amphay Kindavong.
Dr Haji Norarfan ketika menerima kunjungan Amphay Kindavong.

Pada ketika ini, UNISSA melalui Fakulti Syariah dan Undang-undang menawarkan program dwi-ijazah (double degree) iaitu melalui Program Sarjana Muda Undang-undang dan Sarjana Muda Syariah.

Sebagai sebuah negara dalam rumpun ASEAN, menurut duta berkenaan, Undang-undang Sivil yang dipraktikkan tidaklah jauh berbeza, justeru semua negara di dalam ASEAN boleh saling berkongsi mengenai amalan undang-undang di negara masing-masing dan setentunya ini akan memberi banyak manfaat kepada semua.

Republik Demokratik Rakyat Laos yang mempunyai penduduk sekitar 6.5 juta juga kini sangat komited untuk memacu para pelajarnya mendepani dunia pengajian pendidikan tinggi yang sangat sengit saingannya di arena antarabangsa.

Ini bersesuaian dengan wawasan negara berkenaan yang ingin keluar daripada kelompok kemiskinan menjelang 2020 dan menjadi antara negara membangun yang berkredibiliti.

Sekalipun, keramaian umat Islam hanya sekitar 600 orang di sana tanpa institusi pengajian Islam, namun minat kerajaan untuk menghantar para pelajarnya mempelajari Undang-undang Syariah di UNISSA merupakan langkah awal yang positif dalam mengenalkan keluhuran agama dan ajaran Islam kepada masyarakat Laos.

ARTIKEL YANG SAMA