Lapan ahli BDARA hadiri Persidangan Seanet di Bangkok

Lapan ahli BDARA hadiri Persidangan Seanet di Bangkok

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Nov – Persekutuan Radio Amatur Negara Brunei Darussalam (BDARA) telah menghantar lapan orang ahli untuk mewakili negara bagi menghadiri Persidangan Seanet ke-44 yang akan diadakan di Pattaya Discovery Beach Hotel, Bangkok, Thailand bermula pada 18 hingga 21 November ini.

Sehubungan itu, satu majlis penyerahan bendera negara yang berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas telah disampaikan oleh Yang Di-Pertua Persekutuan BDARA, Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman bin Pengiran Haji Damit kepada ketua delegasi, Mejar (B) Haji Tamat bin Haji Lampoh.

Seramai 200 ahli radio amatur dari ASEAN serta negara-negara jemputan seperti Amerika, Australia, United Kingdom, Jerman, China, Korea, Jepun dan India akan menghadiri persidangan tersebut.

Persidangan selama empat hari itu merupakan salah satu kegiatan tahunan persekutuan radio amatur ASEAN yang dikendalikan secara bergilir-gilir oleh negara ASEAN. Pada tahun ini Thailand telah terpilih untuk menjadi tuan rumah bagi persidangan tersebut.

Antara pengisian program persidangan tersebut ialah tiga sesi seminar dan lawatan ke tempat bersejarah di Pattaya, Bangkok, Thailand.

Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman ketika menyerahkan bendera negara kepada ketua delegasi.
Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman ketika menyerahkan bendera negara kepada ketua delegasi.

Menurut Mejar (B) Haji Tamat, tujuan BDARA menghantar delegasi ke konvensyen tersebut ialah bagi menambah pengetahuan ahli-ahli radio amatur di negara ini tentang maklumat terkini di bidang teknikal radio amatur serta berkongsi maklumat dengan rakan amatur radio di luar negara mengenai dengan perkembangan teknologi terkini dalam bidang perhubungan radio.

Selain itu, ia juga diharap dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan rakan-rakan amatur radio dari pelbagai negara.

Beliau juga dalam pada itu menyarankan kepada para belia yang mempunyai pengetahuan dalam bidang perhubungan radio supaya menceburi hobi bidang radio amatur untuk mendalami pengetahuan mereka, memandangkan ketika ini sebanyak 80 peratus daripada 60 ahli BDARA adalah terdiri daripada orang dewasa.

ARTIKEL YANG SAMA