Lapan aksi futsal meriahkan cabaran Zon 1

Lapan aksi futsal meriahkan cabaran Zon 1

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 April – Kejohanan Futsal Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab Kawasan Zon 1 2016 diteruskan dengan lapan lagi perlawanan dalam Kategori C (Usia 15, 16 dan 17 Tahun) kelmarin melibatkan keempat-empat kumpulan.

Kejohanan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu bermula dengan kemenangan 1-0 Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (MD) ke atas Sekolah St. George dalam Kumpulan A.

Perlawanan kedua menyaksikan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) menang besar 6-0 ke atas SM Chung Hwa dalam Kumpulan B, disusuli dengan kemenangan tipis 1-0 Sekolah Menengah (SM) Sayyidina Umar Al-Khattab (SUA) ke atas SM Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) dalam Kumpulan C.

Dalam satu-satunya aksi Kumpulan D, Sekolah Sukan menang 2-0 ke atas SM Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMJA), diikuti dengan catatan seri tanpa jaringan antara Sekolah St. Andrew dengan MD.

SM Menglait Gadong kemudiannya berjaya mengalahkan Sekolah St. George 1-0, diekori dengan catatan kemenangan kedua ITQSHHB, kali ini 4-2 ke atas Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS).

SM Menglait Gadong (hitam) ketika menentang Sekolah St. George dalam aksi Kategori C kelmarin.
SM Menglait Gadong (hitam) ketika menentang Sekolah St. George dalam aksi Kategori C kelmarin.

Perlawanan terakhir Kategori C kelmarin menyaksikan SM SUA dan SM Awang Semaun berkongsi kehampaan sekadar seri 0-0.

Aksi Kumpulan C akan diteruskan pada Isnin, 11 April ini dengan enam lagi perlawanan iaitu SM SMJA lawan SM Sultan Hassan, Sekolah St. Andrew lawan Sekolah St. George, SM Menglait Gadong lawan MD, SM Chung Hwa lawan Maktab SOAS, SMALHB lawan SM Awang Semaun dan Sekolah Sukan lawan SM Sultan Hassan.

Selesai perlawanan peringkat kumpulan bagi Kategori C berkenaan, kejohanan akan diteruskan dengan dua perlawanan separuh akhir Kategori B. Empat pasukan yang mara ke separuh akhir berkenaan ialah SM Awang Semaun, SM SUA, SM SMJA dan Sekolah atau SM Menglait.

SM Awang Semaun dan SM SUA layak selaku juara kumpulan masing-masing iaitu A dan B manakala SM SMJA mara selaku naib juara kumpulan terbaik setelah mengumpul enam mata dalam Kumpulan A.

SM Awang Semaun di puncak Kumpulan A selepas seri 1-1 dengan Sekolah St. Andrew, menang 3-0 ke atas dan kemudiannya mengalahkan SM SMJA 3-1. SM SMJA pula muncul naib juara Kumpulan A setelah mengalahkan ITQSHHB 3-0 dan Sekolah St. Andrew, 2-1.

SM SUA juga mengumpul tujuh mata dalam Kumpulan B menerusi keputusan seri 1-1 dengan Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS), dan kemudiannya mencatat kemenangan 1-0 berturut-turut masing-masing ke atas dan SM Sultan Hassan.

Dalam Kumpulan C yang hanya mengandungi tiga pasukan, Sekolah Sukan dan SM Menglait Gadong perlu bersaing sekali lagi bagi menentukan siapa layak mara ke separuh akhir selepas kedua-duanya sama-sama mencatat empat mata, tiga jaringan dan belum pernah bolos.

Kedua-dua pasukan menang 3-0 ke atas Sekolah St. George dan seri 0-0 sesama mereka.