Lapan keluarga M’sia di Haryana selamat

Lapan keluarga M’sia di Haryana selamat

NEW DELHI, 21 Feb (Bernama) – Lapan keluarga Malaysia yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia dilaporkan selamat ketika rusuhan di negeri Haryana, India, semakin buruk dalam tempoh 24 jam lepas, dengan jumlah kematian meningkat kepada sepuluh dan lebih 100 orang cedera.

Seorang pegawai berkata nasihat telah dikeluarkan kepada semua rakyat Malaysia yang berada di bandar Gurgoun kira-kira 45 minit perjalanan dengan kenderaan dari sini supaya mengelak daripada pergi ke kawasan yang dilanda rusuhan.

“Kami memantau keadaan dengan rapi dan satu laporan telah dikemukakan kepada Wisma Putra,” kata pegawai itu apabila dihubungi kelmarin.

Para pegawai Kementerian Dalam Negeri India dan polis di Haryana mengesahkan bahawa lebih 3,000 anggota separa tentera diangkut dengan pesawat petang semalam ke kawasan terjejas setelah para penunjuk perasaan menghadang lebuh raya utama serta laluan kereta api.

Perintah berkurung dikenakan di lima daerah utama di negeri itu iaitu di Sonipat, Rohtak, Bhiwani, Jhajjar dan Rohtak.

Tunjuk perasaan yang memasuki hari kesembilan hari ini, boleh dikatakan memutuskan hubungan antara negeri yang mempunyai 26.4 juta penduduk ini dengan wilayah lain di India.

ARTIKEL YANG SAMA