Lapan maut, 100 kena culik

Lapan maut, 100 kena culik

YAOUNDE, 5 Ogos (Reuters) – Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan kira-kira 100 yang lain diculik oleh suspek militan Boko Haram dalam serangan semalaman ke atas kampung berhampiran sempadan utara Cameroon, menurut sumber kerajaan tempatan dan tentera.

Tchakarmari, kampung yang menjadi sasaran awal semalam, terletak di utara Maroua, di mana berbelas-belas orang dibunuh dalam beberapa siri serangan bom bunuh diri oleh kumpulan Islam Nigeria bulan lepas.

“Para penduduk berkata kumpulan penyerang kembali semula ke Nigeria di mana Cameroon tidak dibenarkan untuk memburu mereka,” kata sumber kerajaan tempatan di rantau Jauh Utara.

Seorang pegawai kanan tentera yang dikerahkan sebagai sebahagian operasi tentera Cameroon bertujuan mengekang kebanjiran keganasan dari kubu kuat Boko Haram di timur laut Nigeria berkata para penyerang menyeberangi dari Nigeria sejurus selepas tengah malam.

Anggota kumpulan Boko Haram kelihatan meraikan kejayaan mereka selepas melakukan serangan ke atas sebuah kampung berhampiran sempadan utara Cameroon. – Reuters
Anggota kumpulan Boko Haram kelihatan meraikan kejayaan mereka selepas melakukan serangan ke atas sebuah kampung berhampiran sempadan utara Cameroon. – Reuters

Selepas beberapa serangan bom bunuh diri pada Julai, kerajaan Cameroon mengumumkan rancangan untuk menghantar tambahan 2,000 tentera bagi memantapkan kawalan keselamatan di rantau Utara Jauh.

Gabenor wilayah sudah pun mengharamkan pemakaian burka sejak serangan berkenaan, yang dilakukan pengebom bunuh diri wanita yang memakai burka. Dan pada hujung minggu, pihak berkuasa memberkas dan mengusir kira-kira 2,800 warga Nigeria yang tinggal di Cameroon tanpa dokumen yang diperlukan.

Cameroon sudah pun mengerahkan kira-kira 7,000 tentera sebagai sebahagian tentera serantau yang termasuk Chad, Niger dan Nigeria untuk cuba menghentikan pemberontakan Boko Haram yang sudah pun mencecah enam tahun.