Lapan maut helikopter, pesawat laut berlanggar

Lapan maut helikopter, pesawat laut berlanggar

MOSCOW, 9 Ogos (AFP) – Anggota penyelamat menemui lapan mayat dari sebuah takungan di luar Moscow hari ini berikutan perlanggaran sebuah helikopter dan sebuah pesawat laut di ruang udara, dengan seorang lagi masih hilang dan dikhuatiri maut dalam nahas berkenaan.

“Kami mengesahkan bahawa setakat ini mayat lapan orang sudah ditemui,” timbalan gabenor wilayah Moscow memberitahu agensi berita Interfax.

Dua mangsa dalam nahas itu ialah kanak-kanak, kata Kementerian Kecemasan.

Pesawat laut Cessna milik persendirian dan helikopter Robinson R44 berlanggar di ruang udara takungan Istrinskoye lewat semalam lalu jatuh ke dalam air, kata kementerian itu.

Takungan yang mempunyai pemandangan indah itu terletak kira-kira 60 kilometer dari Moscow dan merupakan destinasi sukan air terkenal.

Kementerian Kecemasan berkata helikopter itu, yang membuat penerbangan tinjauan di kawasan berkenaan, membawa tiga penumpang dan seorang juruterbang, sementara pesawat laut membawa empat penumpang bersama seorang juruterbang.