Lapan nelayan warga Vietnam didenda

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Sept – Lapan nelayan warga Vietnam yang berdepan pertuduhan menceroboh perairan negara ini untuk menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram dijatuhi denda oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Hosi Huang selaku ketua dijatuhi $10,000 atau berdepan 10 bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Manakala Lam Ngoc Danh, Vuong Van Nhat, Ho Poa, Pham Dec Hung, Nguyen Trung Hieu, Truong Quang Minh dan Ho Van Thinh, masing-masing diarahkan untuk membayar denda $500 atau berdepan sebulan penjara.

Hukuman diputuskan Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa ibunda mereka oleh juru-bahasa dari Kedutaan Vietnam.

Kesemua mereka didapati berada di perairan negara ini secara tidak sah oleh pasukan Tentera Laut Diraja Brunei yang menjalankan rondaan kira-kira 23 batu nautika dari persisiran Brunei, pada 29 Ogos 2017.

Tentera laut turut menemukan kira-kira dua tan ikan dalam kapal tersebut.

Majistret Hajah Ervy Sufitriana turut memerintahkan kapal dan hasil jualan ikan diserahkan kepada kerajaan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Danial bin DSP Haji Kifrawi.