Lapan pasukan berentap hari ini

Lapan pasukan berentap hari ini

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jan – Sebanyak lapan pasukan akan berentap dalam Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Bawah 21 Tahun bermula esok (8 Januari) bersempena Hari Belia Negara Brunei Darussalam 2015 anjuran Persatuan Sepak Takraw Brunei Darussalam (PESTABARU) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Sehubungan dengan itu, pengurus-pengurus pasukan yang terlibat dengan kejohanan itu bersidang hari ini bagi membincangkan mengenai format perlawanan dan seterusnya mencabut undi kumpulan yang diadakan di Pejabat PESTABARU, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bokiah, Berakas.

Mempengerusikan mesyuarat berkenaan ialah Presiden PESTABARU, Pengiran Haji Ali Hassan bin Pengiran DSLJ Haji Abbas yang turut memberikan ucapan alu-aluannya sebelum taklimat pertandingan disampaikan Ahli Majlis PESTABARU, Haji Zaman bin Haji Samat.

Dalam Kumpulan A Pasukan Sengkurong ditempatkan bersama Belait C, Belait A dan Perkasa sementara dalam kumpulan B pula Pasukan Ezid Team ditempatkan bersama Belait B, Muara Spurs dan BTTJ.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden PESTABARU (tiga kanan) dan taklimat yang disampaikan oleh Haji Zaman mengenai kejohanan itu.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden PESTABARU (tiga kanan) dan taklimat yang disampaikan oleh Haji Zaman mengenai kejohanan itu.

Antara tujuan pertandingan itu adalah untuk memilih sebanyak mungkin pemain yang boleh diserapkan kepada skuad pelapis, Skuad belia dan Skuad kedua kebangsaan bagi penyertaan di peringkat Borneo, BIMP EAGA dan Sukan Malaysia.

Menurut Haji Zaman, melihat kepada perkembangan itu, PESTABARU mengambil langkah mengubah format perlawanan asal daripada kalah mati kepada liga berkumpulan bagi memberikan setiap pemain mempamerkan bakat dan kebolehan masing-masing.

Lapan perlawanan akan berlangsung besok dan lapan lagi akan berlangsung pada sebelah petang 10 Januari 2016 di Kompleks Sukan Menglait sebelum peringkat separuh akhir dan akhir di tempat yang sama pada 15 Januari 2016.

ARTIKEL YANG SAMA