Lapan pelanggan bertuah terima ganjaran

Lapan pelanggan bertuah terima ganjaran

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 April – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, itulah yang terjadi kepada Awang Wasli bin Haji Abdul Hamid apabila diumumkan sebagai pemenang utama Promosi Menangi Kereta Pan Bright 2016, sekali gus memandu pulang kereta Hyundai Accent.

Awang Wasli, 60, semasa ditemui pihak Media Permata melahirkan perasaan gembira dan bersyukur kerana beliau tidak menyangka atas kemenangannya itu dan ia merupakan hadiah lumayan kali pertama yang pernah dimenanginya.

Menurutnya, beliau telah membeli tiket ke Indonesia semasa Promosi Menangi Kereta Pan Bright yang berlangsung di Kuala Belait bulan lalu.

Penyampaian hadiah tajaan Pan Bright Travel Serivces pada majlis yang berlangsung di Deli Bites, Kelab Rekreasi Diraja Brunei (RBRC), petang tadi, telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Pan Bright Travel Services, Johnnie Cheong.

Majlis turut menyaksikan tujuh orang pelanggan bertuah membawa pulang tiket-tiket penerbangan kelas ekonomi ke London, Melbourne, Bali, Sydney, Bangkok dan juga Beijing.

Awang Wasli menerima plak hadiah utama, kereta Hyundai Accent bagi Promosi Menangi Kereta Pan Bright 2016.
Awang Wasli menerima plak hadiah utama, kereta Hyundai Accent bagi Promosi Menangi Kereta Pan Bright 2016.
Para pemenang bergambar ramai bersama hadiah masing-masing.
Para pemenang bergambar ramai bersama hadiah masing-masing.

Memenangi tiket penerbangan ke London ialah Awang Junit Zakaria dan Dayang Nur Ameerah Syaheerah binti Abdul Muhaimin, sementara itu, Haji Bujang bin Haji Salleh pula membawa pulang tiket penerbangan ke Beijing dan Matthew Gould akan terbang ke Sydney.

Tiket penerbangan ke Melbourne pula dimenangi oleh Awang Mohd Safwan Shahdan, manakala itu, Haji Mohd Ismail bin Haji Razak dan Dayang Norsah Tinggal masing-masing memenangi tiket penerbangan ke Bangkok dan Bali.

Hadiah-hadiah tiket penerbangan tajaan Royal Brunei Airlines (RB), Malaysia Airlines dan Singapore Airlines itu disampaikan oleh Pengurus Negara RB Brunei, Evelyen Ang bagi tiket penerbangan ke London, Melbourne dan Bali; Ketua Stesen Malaysia Airlines bagi Brunei, Dayang Siti Bibi Hazslina binti Awang Bolhassan bagi tiket penerbangan ke London, Sydney dan Bangkok; sementara itu, tiket penerbangan ke Beijing pula disampaikan oleh Pengurus Besar Singapore Airlines, Aldrin Arumugam.

Promosi Menangi Kereta Pan Bright itu bermula sejak 26 September lalu hingga 26 Mac 2016 lalu bertujuan memberi penghargaan kepada pelanggan yang terus memberi sokongan kepada perkhidmatan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA