Lapan puluh enam sertai kempen menderma darah

Lapan puluh enam sertai kempen menderma darah

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Julai – Kelab Rotary Bandar Seri Begawan dan Pusat Menderma Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) sekali lagi mengadakan Kempen Menderma Darah ke-17 yang berlangsung di Dewan Pameran Lexus, Gadong, kelmarin, untuk memberi peluang kepada orang ramai menabur bakti serta membantu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.

Kempen itu berjaya menarik minat seramai 86 orang penderma darah di mana ia bukan sahaja disertai oleh penderma yang berpengalaman tetapi juga penderma-penderma baru.

Sejak kempen itu dilaksanakan bersama oleh Kelab Rotary Bandar Seri Begawan dan Pusat Menderma Darah, sebanyak 1,441 pain darah telah berjaya dikumpulkan dan Presiden Kelab Rotary, Kenneth Lim, amat menghargai penyertaan para penderma dalam kempen itu sejak bertahun-tahun lamanya.

Beliau juga berkata bahawa para penderma darah bukan sahaja telah menghulurkan khidmat bakti kepada masyarakat tetapi telah berjaya untuk menghulurkan sumbangan yang penuh bermakna iaitu darah bagi golongan yang memerlukan.

Sementara itu, Penyelia Penderma Darah, Pusat Menderma Darah, Hospital RIPAS, Haji Matusop bin Haji Daud, dipetik menyatakan penghargaan kepada semua orang yang tampil ke hadapan untuk menderma darah semasa kempen itu.

Di antara mereka yang menderma darah semasa kempen tersebut.
Di antara mereka yang menderma darah semasa kempen tersebut.

pg06_150727_c

Beliau juga berkata bahawa kehadiran seramai 86 orang penderma itu amat dihargai dan walaupun jumlah penyertaan bagi kempen kali ini menurun dari yang diadakan pada Mac lalu namun setiap sumbangan itu adalah amat bermakna.

Pada masa yang sama beliau juga menyatakan penghargaan kepada semua pihak media yang menyebarkan maklumat mengenai kempen berkenaan.

Beliau menyatakan harapan supaya lebih ramai orang akan menyahut seruan untuk menderma darah kerana ia bukan sahaja memberi kebaikan kepada kesihatan tetapi ia juga mampu untuk menghulurkan sumbangan bakti bagi membantu golongan yang memerlukan.

ARTIKEL YANG SAMA