Lapangan terbang Amsterdam ditutup

Lapangan terbang Amsterdam ditutup

SCHIPHOL, Belanda, 13 April (AFP) – Operasi lapangan terbang antarabangsa disini tergendala lebih empat jam semalam selepas pihak berkuasa menahan seorang lelaki dipercayai mengancam keselamatan awam, kata pegawai kepada AFP.

Polis tentera lengkap bersenjata pantas mengosongkan sebahagian besar lapangan terbang Schiphol lewat semalam. Kejadian berlaku ketika Belanda berada pada tahap keselamatan tertinggi susulan serangan 22 Mac lalu di lapangan terbang Brussels yang mengorbankan 32 orang.

Jurucakap polis tentera, Alfred Ellwanger memberitahu AFP kira-kira jam 9.45 malam (waktu tempatan) seorang lelaki ditangkap di dataran berdepan pintu masuk utama ke plaza lapangan terbang. “Skuad pemusnah bom juga berada di tempat kejadian dan sedang memeriksa bagasi lelaki berkenaan,” katanya.

Tiada penerbangan yang terganggu dan kereta api terus tiba di stesen bawah tanah, yang menghubungkan hab pelancongan yang besar ke seluruh Belanda. Schiphol, yang terletak kira-kira 16 kilometer (10 batu) barat daya pusat Amsterdam, adalah salah satu hab pelancongan paling sibuk di Eropah dengan kira-kira 50 juta pelawat setiap tahun.

Pasukan keselamatan mengawal sebahagian daripada Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam, Belanda, Kelmarin. – AFP
Pasukan keselamatan mengawal sebahagian daripada Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam, Belanda, Kelmarin. – AFP

“Semua kawasan boleh diakses lagi. Esok (Khamis), penerbangan akan berjalan seperti biasa. Terima kasih semua atas kesabaran dan kefahaman anda pada malam ini,” kata lapangan terbang itu pada awal hari ini dalam akaun rasmi Twitternya. Manakala satu lagi tangkapan turut dibuat berhampiran stesen kereta api Leiden namun kejadian itu tiada kaitan dengan siasatan di Schiphol, kata jurucakap polis The Hague memberitahu AFP.

Wujud kebimbangan bahawa Belanda turut berpotensi menjadi sasaran serangan pengganas, walaupun ahli-ahli politik Belanda menegaskan mereka berusaha keras memastikan keselamatan negara itu.