Lapangan terbang bakal ditutup lagi

Lapangan terbang bakal ditutup lagi

LOMBOK, 9 Nov (Agensi) – Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok mungkin ditutup hingga hari ini akibat debu tebal yang dimuntahkan gunung berapi Barujari.

Ratusan pelancong asing juga terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali selepas beberapa penerbangan terpaksa dibatalkan semalam.

“Barujari yang terletak di gunung Rinjani masih mengeluarkan debu dan awan tebal yang membawa debu ini terapung di angkasa,” kata timbalan presiden komunikasi korporat Garuda Indonesia, Benny S Butarbutar.

Katanya, syarikat penerbangan itu menangguhkan perkhidmatannya di lapangan terbang Lombok sementara menunggu keputusan daripada pihak berkuasa.

Sementara itu, beberapa penerbangan dari Bali ke Australia juga dibatalkan semalam selepas debu tebal semakin menghampiri lapangan terbang di pulau peranginan popular berkenaan.

Hanya beberapa pelancong yang bernasib baik sempat menaiki satu penerbangan pulang ke Australia pagi semalam. Dua pesawat syarikat penerbangan Australia, Jetstar yang menuju ke Bali bagi mengambil penumpang yang terkandas, terpaksa berpatah balik ekoran keadaan yang semakin buruk.

Syarikat Virgin Australia membatalkan penerbangan yang dijadualkan esok dan Jetstar juga bakal mengehadkan penerbangannya.

“Debu tebal akibat letusan Barujari tidak menunjukkan tanda semakin menjauhi lapangan terbang Bali ketika ini,” kata Virgin Australia dalam satu kenyataan.

Jetstar dalam satu kenyataan pula memberitahu, syarikat itu ketika ini hanya merancang untuk membuat penerbangan pada waktu siang sahaja. – Agensi

“Keadaan itu menyebabkan kami terpaksa mengubah masa atau membatalkan beberapa penerbangan esok (hari ini),” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA