Lapangan terbang Bali ditutup sementara

Lapangan terbang Bali ditutup sementara

JAKARTA, 6 Ogos – Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Denpasar, Bali ditutup sementara berikutan debu gunung berapi Raung di Jawa Timur menjejaskan jarak penglihatan.

Laporan CNN Indonesia di sini memetik Ketua Pusat Data Informasi dan Humas Badan Nasional Pencegahan Bencana, Sutopo Purwo Nugroho sebagai berkata,penutupan lapangan terbang itu berkuat kuasa dari pukul 11 pagi hingga 5 petang hari ini.

“Debu itu bergerak sehingga ke Selatan-Tenggara. Jarak terdekat debu itu dengan Bandara (Lapangan Terbang) Ngurai Rai hanya sekitar 18km. Keadaan itu menyebabkan bandara itu ditutup sementara,” katanya.

Sutopo berkata, aktiviti Gunung Raung terus meningkat sejak lima hari lepas dan debu dari letusan gunung itu masih tebal.

Penumpang menunggu maklumat pesawat di lapangan terbang antarabangsa Ngurai Rai di pulau Bali, Indonesia. Gunung berapi Raung di bandar Jawa Timur berhampiran meletus semenjak Julai, mengakibatkan penutupan sekali-sekala ke atas lapangan terbang di sekitar gunung berapi itu termasuklah lapangan terbang Bali. – Reuters

“Gegaran masih berlaku di gunung itu. Pihak berkuasa mengklasifikasikan status gunung itu sebagai berwaspada tahap 3 dan sudah memindahkan penduduk dalam lingkungan 3km dari kawasan gunung itu,” katanya.

Pada 10 Julai lepas, ratusan penerbangan di lapangan terbang Ngurah Rai terganggu ekoran letusan Gunung Raung itu yang mengakibatkan ribuan penumpang terpaksa menukar jadual penerbangan masing-masing.

Terdapat lebih 350 penerbangan antarabangsa dan domestik yang mendarat di lapangan terbang antarabangsa Ngurai Rai itu pada setiap hari. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA